PARIT: UMNO Perak telah memuktamadkan keputusan tiada kerjasama antara parti itu dengan Pas di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama yang terjalin buat masa ini di antara dua parti tersebut adalah di atas kapasiti sebagai rakan dalam kerajaan negeri sahaja.
“Sebagai rakan dalam kerajaan negeri kita bekerjasamalah. Untuk pilihan raya, kita pergi sendiri, muktamad,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Fasiliti Kilang Elektrik & Elektronik XP Power di Taman Perindustrian Farmaseutikal, Bandar Seri Iskandar di sini hari ini.
Saarani ditanya mengenai keputusan beberapa negeri yang memuktamadkan kerjasama antara UMNO dan Pas di dalam Muafakat Nasional (MN) pada PRU-15.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo meskipun Pas mahu mempertahan MN.
Bagaimanapun Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Ahmad Zahid menolak kerjasama bersama Pas dalam PRU15 tidak mewakili pendirian parti itu secara keseluruhan dan bukan keputusan sepenuhnya UMNO.
Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri akan mengadakan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas melibatkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti, selepas ia diwartakan di peringkat Persekutuan.
Katanya, perkara berkenaan melibatkan pindaan Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.
“Kita akan adakan selepas RUU peringkat Nasional diwartakan, baru kita boleh panggil sidang DUN,” katanya. – UTUSAN











