HAMBURG/FRANKFURT: Volkswagen mengumumkan hasratnya untuk mengapungkan jenama kereta sport Porsche, sekali gus bakal menjadi antara penyenaraian terbesar dunia, di sebalik kegelisahan pasaran terhadap inflasi dan krisis tenaga Russia-Eropah.
Pembuat kereta itu menyuarakan hasrat untuk membuat tawaran awam permulaan (IPO) jenama berkenaan pada akhir September atau awal Oktober sebelum dimuktamadkan menjelang akhir tahun.
Penyenaraian di bursa Frankfurt itu diumumkan selepas lembaga penyeliaan Volkswagen (VW) memberi kebenaran lewat Isnin lalu, lapor Reuters.
Pelabur menjangkakan penilaian antara €60 bilion (RM268.19 bilion) dan €85 bilion (RM357.58 bilion). Pada akhir anggaran, IPO Porche itu boleh menjadi yang terbesar dalam sejarah Jerman dan terbesar di Eropah sejak 1999, menurut data Refinitiv.
Menurut Volkswagen, IPO akan menjadi langkah penting seterusnya dalam transformasi syarikat kerana ia bertujuan untuk menjadi penyedia utama mobiliti berasaskan perisian.
“Qatar akan menjadi pelabur penting yang berhasrat untuk memberi komitmen kepada 4.99 peratus kepentingan dalam syarikat yang baharu disenaraikan itu,” kata Volkswagen.
Hasrat untuk mengapungkan jenama itu termasuk tawaran kepada pelabur runcit di negara-negara Eropah termasuk Perancis, Sepanyol dan Itali, percubaan untuk memanfaatkan pangkalan peminat setia Porsche di sana.
Volkswagen meluluskan pegangan 25 peratus campur satu saham, saham biasa dalam Porsche AG untuk dijual kepada Porsche SE, sebagaimana yang dibentangkan dalam perjanjian rangka kerja oleh kedua-dua pihak pada Februari lalu.
Ia memberikan keluarga Porsche dan Piech, yang mengawal Porsche SE, menyekat pegangan minoriti – menguatkan dorongan mereka untuk kawalan yang lebih besar di bawah Ketua Eksekutif baharu, Oliver Blume. – AGENSI










