Petisyen pengampunan bukan didengar serta-merta

Petisyen pengampunan bukan didengar serta-merta

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia berhubung keputusan rayuan kes Najib Tun Razak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan sama ada petisyen pengampunan banduan diterima atau ditolak tidak dibuat dengan segera kerana perkara itu hendaklah ditentukan Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat mengikut keperluan dan tiada tempoh tertentu ditetapkan.

Hal tersebut bermakna petisyen pengampunan dikemukakan itu tidak didengar pada kadar segera dengan seseorang banduan tersebut hendaklah menjalani hukuman seperti diputuskan mahkamah.

Misalnya bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris hanya menerima pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1981 selepas dihukum penjara bermula pada 1977 atas kes pecah amanah.

Pendakwaan
ABU TALIB OTHMAN

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, lazimnya mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan bergantung kepada ketetapan Jabatan Perdana Menteri setelah butiran petisyen lengkap dan memperoleh nasihat oleh Peguam Negara.

“Bukan terima petisyen pengampunan hari ini, esok, lusa dan bulan depan mesyuarat. Hal ini Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan tempoh mesyuarat bersidang, secara kebiasaan bergantung kepada ketetapan pihak berkuasa.

“Berdasarkan pengalaman saya, tiada tempoh atau tarikh khas mesyuarat Lembaga Pengampunan, bukan setahun dua kali mahupun setahun sekali. Malah perkara ini memerlukan penelitian terhadap satu-satu petisyen dan ia memakan masa,” katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi peguamnya Tetuan Shafee & Co dilaporkan mengemukakan petisyen kepada Lembaga Pengampuan terhadap sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Abu Talib berkata, sebelum memberikan nasihat mengenai apa-apa perkara, Lembaga Pengampunan hendaklah menimbang pendapat bertulis yang mungkin telah dikemukakan Peguam Negara mengenai perkara berkenaan.

Katanya, meskipun Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan tidak memperincikan sama ada kuasa pengampunan adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong atau sebaliknya, pada kebiasaannya Seri Paduka akan menerima nasihat oleh anggota-anggota Lembaga Pengampunan.

Menurut beliau, bagi Wilayah Persekutuan, keanggotan lembaga terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai Pengerusi di samping Peguam Negara, Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Menteri Wilayah Persekutuan) dan tidak lebih daripada tiga orang anggota lain dilantik oleh Seri Paduka.

“Mesyuarat ini akan memutuskan petisyen sama ada ditolak atau dibenarkan dengan diberikan pengampunan penuh atau pengampunan terhad seperti dijelaskan dalam Perkara 42 (1) iaitu Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum,” katanya.

SEJARAH PETISYEN PENGAMPUNAN DI MALAYSIA:

1. Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris.
*Dihukum penjara atas kes pecah amanah pada 1977, namun diberikan pengampunan pada 1981.

2. Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim.
*Dijatuhi gantung sampai mati pada 1983 atas kes bunuh, namun pada tahun berikutnya diberikan pengampunan kepada penjara seumur hidup oleh Yang di-Pertuan Agong. Namun kemudian diberikan pengampunan kedua dan dibebaskan setelah sembilan tahun dalam penjara.

3. Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
*Menerima pengampunan pada 2018 selepas menjalani hukuman penjara lima tahun bermula 2015.

UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×