BERBAKI sembilan hari sahaja lagi, Mas Idayu bakal melangkah ke alam perkahwinan bersama jejaka pilihan yang juga penerbit program televisyen, Sufian Isa yang akan berlangsung 16 September ini.
Tentunya, perasaan penyanyi dangdut kesayangan ramai ini kini bercampur aduk memikirkan langkah baharu yang bakal diterokainya nanti.
Kata penyanyi lagu Cintaku 100 % itu, dia tidak pernah merasai debaran seperti yang dirasakannya sekarang dan berharap majlis pernikahan serta persandingannya nanti berjalan lancar.
“Ketika perkahwinan pertama dulu, tiada majlis besar dilakukan. Jadi, debaran dan kesibukan membuat persiapan menanti detik bersejarah itu tidak pernah saya rasakan.
“Kali ini, perasaannya sangat berbeza. Macam-macam yang saya rasakan ketika menghitung hari menjelang majlis pernikahan. Ibaratnya saya tidur tidak lena, makan pun tidak kenyang. Begitulah,” katanya.
Mas Idayu yang ditemui pada majlis bersiram di sebuah hotel, baru-baru ini berkata, selepas 17 tahun sendiri, dia kini seperti sedang melalui episod cinta dan perkahwinan pertama.
“Berbelas tahun saya hidup sendirian selepas gagal perkahwinan pertama, malah saya tidak pernah meletakkan kepercayaan kepada mana-mana lelaki.
“Begitu juga anak saya, Nur Dayini Asyiqah yang sebelum ini banyak menghalang jika ada lelaki cuba mendekati, terutama mereka yang jauh lebih muda.
“Namun, kehadiran Sufian sangat berbeza dan dia membuka semula pintu hati saya untuk menerima lelaki dalam hidup,” ujarnya.
Mas Idayu dan Sufian bakal disatukan dalam majlis pernikahan dan persandingan yang akan berlangsung di Magica Victory, Quill City Mall, Kuala Lumpur.
Penyanyi yang mesra disapa sebagai Mummy ini juga bersyukur kerana banyak pihak menyuarakan hasrat untuk menaja perkahwinannya.
Kongsinya, perkara tersebut membuatkan nilai tajaan yang sebelum ini mencecah RM7 juta, kini meningkat dan menghampiri RM8 juta.
“Saya bersyukur dan tidak menyangka akan menerima tajaan yang sebegini besar.
“Sampai sekarang, masih ada yang datang dan menyuarakan hasrat mereka untuk menaja perkahwinan saya.
“Ada yang saya terima dan ada juga yang terpaksa saya tolak dengan cara baik.
“Contohnya, majlis berinai. Pada awalnya, saya tidak merancang untuk membuat majlis berinai, namun saya tukar perancangan selepas ada pihak yang mahu menaja,” jelasnya.
MUMMY SANGAT BAHAGIA – DAYINI
Anak mana yang tidak mahu melihat insan yang disayangi mereka bahagia. Bagi puteri kesayangan Mas Idayu, Dayini, dia amat gembira melihat ibunya kini lebih bahagia.
“Pada perkahwinan sebelum ini, Mummy tidak pernah melalui pengalaman mengadakan majlis seperti bersiram, persandingan dan sebagainya.
“Jelas dia sangat bahagia. Nampak lebih gembira dan teruja kerana berpeluang melalui pengalaman ini, malah wajahnya berseri-seri.
“Saya tidak pernah melihat Mummy sebahagia ini. Saya tahu, dia mahu gembira dengan Daddy sampai ke akhir hayat,” katanya.
Kata Dayini lagi, sebagai anak, dia sudah bersedia menerima orang baharu dalam hidup mereka jika kehadiran itu membuatkan ibunya gembira.
“Kalau ikutkan, saya susah sedikit untuk terima orang baharu dalam keluarga kami. Tetapi kali ini, hati saya terbuka kerana saya melihat Mummy happy.
“Saya sudah dewasa dan matang, malah sudah dapat menerima perubahan dalam keluarga kami. Hubungan saya dengan Daddy juga tiada masalah. Kami mesra,” ujarnya.
Dayini juga mengharapkan majlis perkahwinan ibunya nanti berlangsung dengan lancar seperti yang dirancang.
“Saya harap semuanya lancar. Setakat ini, semua persiapan hampir selesai. Ada pasukan yang membantu untuk merealisasikan apa yang Mummy mahukan,” katanya.











