Dugaan sebelum gapai bahagia - Utusan Malaysia

Dugaan sebelum gapai bahagia

Shahir dan Jaskin Jaludin bahagia melayari bahtera perkahwinan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN berdepan ujian tatkala sedang menanti detik untuk bergelar suami, Shahir Zawawi tetap tenang menjalani apa yang sudah tertulis.

Shahir akur, selagi hayat dikandung badan, manusia tidak akan terlepas daripada ujian. Hanya kekuatan mental dan fizikal yang mampu membawanya keluar daripada segala kemelut, seterusnya menggapai bahagia yang diimpikan.

Tidak terkesan dengan apa yang dilaluinya, senyuman tidak lekang dari bibir penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan berusia 34 tahun itu ketika ditemui, Jumaat lalu, sejurus selepas dia diijabkabulkan dengan wanita pilihan hatinya, Jaskin Jaludin, 33.

Pasangan itu disatukan dalam majlis penuh bermakna yang dihadiri keluarga dan teman rapat di sebuah premis di Subang Jaya, Selangor, kira-kira pukul 9.10 malam.

Shahir atau, Ahmad Shahir Zawawi bersyukur kerana majlis akad nikah mereka berjalan lancar seperti dirancang.

“Alhamdulillah. Mula-mula, hati agak berdebar. Ketika sibuk membuat persiapan, saya tidak terasa sangat debarannya. Perasaan gementar mula terasa apabila melangkah ke dalam dewan. Selesai akad nikah, baru saya lega.

“Syukur, semuanya berjalan dengan lancar. Saya sebak apabila melihat isteri menitiskan air mata. Sebenarnya, air mata itu adalah tanda kesyukuran kerana apa yang kami hajati, Allah kabulkan dan permudahkan,” katanya.

Menceritakan tentang detik perkenalan mereka, Shahir memaklumkan, dia dan isterinya saling berkenalan menerusi media sosial selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Kami saling kenal pada bulan Mei lepas menerusi media sosial. Saya yang mula-mula menegurnya di Instagram. Kebetulan, saya mencari pasangan dan merancang untuk berumah tangga. Begitu juga dia.

“Tidak lama selepas itu, kami bersetuju untuk daftar kursus nikah secara online. Kami serius kerana pada usia ini, tidak ada masa untuk bermain-main lagi.

“Pada asalnya, kami merancang untuk berkahwin tahun depan kerana mahu beri ruang berkenalan dahulu. Namun, semua kuasa Allah. Dia permudahkan dan akhirnya perkahwinan kami berlangsung lebih awal,” kongsinya.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Kampar, Perak itu menyifatkan isterinya itu sebagai seorang yang baik hati dan menyenangkan.

“Dia memiliki hati yang suci. Siapa yang kenal Jaskin akan tahu dia bagaimana. Dia juga lucu dan suka menghiburkan hati saya.

“Saya mahu pasangan yang bukan sahaja sebagai isteri, malah menjadi teman untuk bergelak ketawa. Alhamdulillah, semua ciri itu ada padanya.

“Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Cuma, sebelum ini saya tidak jumpa lagi siapa makmumnya. Alhamdulillah, apabila berjumpa dia, saya rasa ini yang Allah janjikan,” tambahnya.

Mengulas tentang cahaya mata, Shahir mengakui, dia tidak terburu-buru dan menyerahkan segala urusan, termasuk zuriat kepada ketentuan Ilahi.
“Zuriat adalah rezeki. Kalau cepat, cepatlah,” katanya ringkas.

Pasangan itu dinikahkan bapa pengantin perempuan, Jaludin Nongce disaksikan Penolong Daftar Nikah, Ustaz Muhammad Hakimi Mustapai dan bapa pengantin lelaki, Zawawi Abdullah.

Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300, selain lima dulang hantaran berbalas tujuh. Pihak lelaki turut memberikan wang hantaran berjumlah RM20,000 kepada pengantin perempuan.

Tanda mata buat isteri
Sebagai perlambangan cinta mereka, Shahir turut menghasilkan sebuah lagu khusus didedikasikan untuk isteri tersayang. Lagu berjudul Halal itu dipersembahkan ketika majlis resepsi pasangan itu yang berlangsung, Sabtu lalu.

Shahir berkata, Halal adalah lagu pertama ciptaannya dan ia menceritakan perjalanan cintanya dan Jaskin sehingga membawa mereka ke jenjang pelamin.

“Saya tidak pernah menulis lagu, namun untuk mengabadikan perjalanan cinta kami, saya hasilkan Halal sebagai tanda kenangan untuk semua yang menghadiri majlis resepsi kami.

“Ia berdasarkan pengalaman sebenar kami. Saya berharap semua tetamu dapat menikmati bait lagu yang dipersembahkan ini kerana ia menceritakan detik indah perkenalan saya dan isteri hingga membawa kami ke jenjang pelamin,” katanya.

TAK PERCAYA DIA ARTIS – ISTERI
Kali pertama mengenali Shahir, Jaskin pada awalnya tidak percaya juara Akademi Fantasia ke-8 (AF8) itu seorang artis yang dikenali ramai.

“Saya macam tidak percaya dia artis kerana tidak menonton AF. Insya-Allah, saya sudah bersedia untuk mengharungi alam rumah tangga dengannya. Saya faham kerja dia dan saya tidak menetapkan apa-apa syarat,” katanya.

Disoal tentang perasaan saat bergelar isteri, anak kelahiran Tawau Sabah itu mengakui, tersentuh hati dan bersyukur diberikan rezeki untuk bertemu jodoh ketika menganjak usia awal 30-an.

“Alhamdulillah, Allah memberikan rezeki ini. Awal tahun, ketika mengerjakan umrah, saya berdoa untuk kembali ke Tanah Suci bersama seorang suami.

“Insya-Allah, kami akan mengerjakan umrah mungkin dalam tahun ini. Tentang percutian, kami belum membuat apa-apa perancangan lagi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×