Anak Rimau The Movie - Patriotisme dalam semangat kesukanan - Utusan Malaysia

Anak Rimau The Movie – Patriotisme dalam semangat kesukanan

Beto Kusyairy dan Idan Aedan antara pelakon utama Anak Rimau The Movie.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMAIN bola sepak belia jadi bidan terjun dunia seni lakon? Apa yang anda lihat dan baca tidak salah. Formula itu digunapakai oleh produksi filem Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn. Bhd. yang meneruskan legasi penghasilan filem tempatan berkonsepkan kesukanan.

Memusatkan kepada sukan bola sepak sebagai latar penceritaan, filem arahan Areel Abu Bakar ini menyaksikan penglibatan pemain belia Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari sebagai pelakon, mewakili kesebelasan utama pasukan.

Meskipun berkonsepkan perlawanan bola sepak sudah pernah diangkat seperti Ola Bla, Bola Kampung (Animasi) dan Gila Bola, penerbitnya, Fadzil Manap, yakin Anak Rimau The Movie dapat menyuntik kelainan kepada peminat filem tanah air.

Fadzil berkata, kos penghasilan filem itu juga agak tinggi iaitu RM5.5 juta bagi memberi kepuasan kepada pembikin dan peminat filem.

“Bajet pembikinan tinggi kerana kami meletakkan ramai barisan pelakon, terutamanya untuk babak dalam stadium. Kami mahu menampakkan suasana sebenar bila ramai penyokong hadir ketika perlawanan berlangsung.

“Ia tidak menggunakan Computer-Generated Imagery (CGI) dan penggambaran 95% dibuat di Pahang. Ia dihasilkan tanpa mengaitkan mana-mana pemain bola sepak, sebaliknya dibentuk dengan acuan tersendiri dari sudut komersial,” katanya.

Mereka yang terbabit sememangnya mempunyai kemahiran dalam bidang bola sepak, namun cabaran utama adalah untuk menyalurkan tenaga melakonkan watak yang dipertanggungjawabkan.

“Mereka bukan pelakon, sebaliknya pelapis masa depan bola sepak negara. Untuk membuatkan penonton percaya mereka mampu berlakon, kami siapkan program latihan lakonan dengan Fatimah Abu Bakar.

“Program itu membentuk mereka dalam menghafal dialog dan bermain emosi dengan watak. Penglibatan jurulatih AMD, Osmera Omaro yang menjadi penasihat kepada pelakon muda di lokasi penggambaran turut menyuntik semangat mereka,” katanya.

Semangat patriotisme diselitkan, bersesuaian dengan sambutan Hari Kemerdekaan, justeru beliau berharapan penonton dapat menjiwai dan mengambil inspirasi daripada filem itu.

“Naskhah ini penuh drama, adegan lucu, inspirasi dan sarat dengan mesej yang mampu memberi impak positif tentang pentingnya semangat berpasukan dan dorongan keluarga dalam mencapai cita-cita.
“Unsur perpaduan dan nasionalismenya sesuai dengan tarikh tayangan iaitu bermula sejak 1 September lalu ketika kita masih meraikan bulan kemerdekaan,” katanya.

Fadzil berkata, idea menghasilkan filem itu tercetus pada April 2018, namun penggambaran hanya bermula selepas tiga bulan, membabitkan lokasi sekitar Pahang. dan selesai pada Ogos 2019.
“Anak Rimau The Movie menjalani penggambaran selama 60 hari di beberapa lokasi menarik seperti Pulau Tioman, Kuantan, Sungai Lembing, Beserah dan AMD.

“Selain cabaran dari segi cuaca, kami terpaksa menggunakan khidmat feri untuk penggambaran di Pulau Tioman. Kami berdepan cabaran apabila perlu mengusung peralatan ke Hutan Lipur Pandan, Kuantan ketika penggambaran di Air Terjun Panching,” katanya.

Filem berkenaan dihasilkan dengan usaha sama Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Ia menampilkan barisan aktor terkenal seperti Beto Kusyairy, Azhan Rani, Adam Corrie, selain Idan Aedan, Kechikimi, Hanz Skelchy dan Mustakim Bahadon.

SINOPSIS
Danish anak orang berada dan bapanya adalah penaja utama akademi Anak Rimau. Impian bapanya untuk melihat anaknya menjadi bintang bola sepak terkenal dan dipilih ejen antarabangsa.

Sewaktu coach Zainal mahu memilih kapten pasukan, Danish menawarkan diri untuk menjadi kapten. Namun, dia gagal menjadi kapten yang baik kerana pentingkan diri.

Zainal melihat potensi besar pada pemain lain untuk diletakkan di posisi penyerang, namun dibantah bapa Danish kerana mahukan anaknya lebih menyerlah agar dipilih ejen yang akan datang menonton perlawanan itu nanti.

Pelbagai konflik berlaku hingga akhirnya menyebabkan Zainal melepaskan jawatannya sebagai jurulatih pasukan Anak Rimau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×