Pernah mencipta kejayaan menerusi pementasan teater Maduku Kalut (2013) dan Maduku Kalut Return (2015), kini penonton berpeluang untuk mengimbau kembali naskhah arahan Azhar Zainal ini dalam versi baharu.
Diberi judul Maduku Terpaling Kalut, pementasan teater edisi ketiga terbitan Mask Team ini dianggap tepat pada waktunya ketika ramai yang mula dahagakan persembahan hiburan yang berbeza daripada penganjuran konsert dan sebagainya.
Menurut penerbit, Shawn Amer, hasrat untuk merealisasikan teater edisi baharu ini hadir selepas melihat sambutan hangat peminat naskhah tersebut yang begitu memberangsangkan dalam dua pementasan terdahulu.
“Terus-terang, saya gembira melihat energi yang disalurkan barisan aktor pementasan sebelum ini, malah penonton juga setia menunggu sehingga habis persembahan.
“Teater ini menyelitkan unsur jenaka, tetapi tidak sehingga perlu membuat lawak bodoh untuk mengunci penonton terus berada di tempat duduk.
“Apa yang saya perhatikan, menerusi dua edisi sebelum ini, penonton tidak bosan sepanjang satu jam 15 minit pementasan. Lagipun, naskhah ini membawakan genre farce comedy dan ia dipersembahkan dengan baik oleh setiap pelakon, malah turut dirasai penonton,” katanya.
Selain itu, kata Shawn, skrip yang diadaptasi daripada naskhah garapan Ray Cooner dalam teater, Run For Your Wife itu sangat dekat dengan masyarakat.
Pun begitu, kata Shawn, ia telah diperhalusi dan digarap dengan lebih teliti oleh Mazli Abdul Rahman, individu yang dipertanggungjawabkan untuk adaptasi pementasan versi terbaru ini.
“Kami dapat banyak respons positif daripada penonton yang pernah menyaksikan pementasan sebelum ini.Rata-rata mereka sangat suka dengan idea kreatif dan intipati penceritaan.
“Satu yang saya ingin tekankan di sini, pementasan teater ini dibuat bukan semata-mata untuk berseronok atau enjoy sahaja. Sebaliknya, kami seluruh pasukan ingin seni persembahan ini diangkat dan dinilai ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Malah menurut Shawn, dia menyimpan impian besar untuk melihat naskhah versi baharu ini mendapat tempat di Boh Cameronian Arts Awards, seperti yang pernah diraih pada 2014.
“Teater ini pernah mendapat enam pencalonan di Boh Cameronian Arts Awards edisi ke-11. Kami juga berhasrat untuk menghantar penyertaan pada tahun ini untuk semua kategori.
“Diharapkan ada rezeki lagi kerana kami mahu mengangkat nilai seni persembahan menerusi teater ini,” katanya.
Selain itu, Shawn juga meluahkan keterujaan apabila pementasan teater Maduku Terpaling Kalut ini akan dilakukan di lokasi yang baharu.
“Dua edisi teater sebelum ini bertapak di pentas Istana Budaya (IB), selain di stor Dewan Bahasa Pustaka (DBP). Tetapi, kali ini kami terpaksa mencari alternatif memandangkan ada masalah kemudahan di IB.
“Kami teruja apabila dapat beraksi di lokasi baharu iaitu di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).
“Saya juga membuka ruang buat mana-mana pihak yang sudi menyumbang dari segi penajaan,” katanya.
Azhar taruh keyakinan
Beralih ke sudut pengarahan, Azhar memuji tindakan Shawn yang dianggap berani mengambil langkah untuk menerbitkan teater ini ketika pihak lain dilihat bertindak sebaliknya.
Kata Azhar, keberanian yang ditonjolkan oleh Mask Team juga menjadi punca utama mengapa dia tidak menolak untuk meneruskan projek teater itu.
“Saya memuji keberanian Shawn dan pasukannya dalam memastikan produksi teater ini berjalan seperti yang dirancang.
“Saya juga setuju dengan strategi produksi apabila menampilkan wajah pelakon baharu untuk naskhah kali ini. Jika penerbit sendiri yakin dengan barisan pelakon yang dipilih, tiada sebab untuk saya berfikiran sebaliknya.
“Tentu sekali, produksi teliti dalam aspek pemilihan pelakon untuk menggalas cabaran sebagai pemain pentas,” katanya.
Ditanya sama ada dia yakin pementasan Maduku Terpaling Kalut ini bakal menjadi hangat seperti karya terdahulu, Azhar ada jawapan sendiri.
“Walaupun memperkenalkan muka baharu, saya yakin mereka memiliki sesuatu yang boleh dikeluarkan atau diterjemahkan menerusi karakter masing-masing.
“Contohnya, saya pernah menjayakan sesi latihan bersama Anna Jobling. Saya lihat dia ada potensi yang boleh digilap. Saya faham, suasana di pentas teater dan penggambaran drama sangat berbeza.
“Tetapi, saya percaya barisan pelakon akan seronok menjayakan teater ini kerana aura di pentas besar sangat berlainan,” katanya.
Sinopsis:
Maduku Terpaling Kalut yang bakal dipentaskan dari 29 September hingga 2 Oktober ini mengisahkan seorang pemandu teksi, Selamat, yang berusaha melarikan diri untuk mengelak kedua-dua isterinya bertemu pada masa sama.
Masalah bermula apabila kedua-dua isterinya melaporkan kehilangan Selamat kepada pihak polis. Selamat berusaha untuk memastikan kedua-dua wanita tersebut tidak bertembung ketika mereka mencarinya.
Mempamerkan nilai komersial dan mesej kekeluargaan yang tinggi, teater ini bakal membawa penonton mengupas mengenai isu semasa secara lebih santai dan bersahaja.
Selain Anna, teater ini turut dibintangi Azrel Ismail, Puteri Sarah Liyana, Syafiq Naser, Aya Amiruddin dan Curly Jow.
Peminat dan penonton boleh mendapatkan tiket secara atas talian di www.onetix.con.my pada harga bermula RM88, RM118,RM168 dan RM198.











