PETALING JAYA: UMNO membuat keputusan untuk bergerak solo meskipun Pas mahu mempertahankan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan kedua-dua oleh parti terbesar Melayu itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana sikap Pas sendiri yang dilihat ‘mandi beberapa kolam’ untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Katanya, keikhlasan Pas selama ini untuk bersama UMNO telah berubah atau beralih arah sejak mereka bersama parti itu di bawah bumbung baharu iaitu Perikatan Nasional (PN).
“Apa yang saya lihat, kerjasama Pas sampaikan hanya satu bentuk kerjasama politik dangkal yang tidak mengambil kira keperluan rakyat sebagaimana semangat MN yang sebenar.
“Hanya dengan kembali kepada kerjasama asal, barulah keikhlasan Pas dapat dilihat. Inilah realiti politik yang perlu kita hadapi,” katanya dalam kenyataan dalam Facebook beliau.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengulas Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan bahawa Pas tidak pernah mengisytiharkan pembubaran MN.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu kepercayaan adalah kunci kejayaan dan kestabilan politik MN namun dirobekkan Pas apabila memilih Bersatu untuk menganggotai PN.
“Bagaimanakah kestabilan, keyakinan dan kerjasama yang kukuh dapat terjalin sekiranya perkara paling asas iaitu prinsip dan kepercayaan diabaikan?
“Lebih lagi dengan parti yang sememangnya jelas ingin menghancurkan UMNO dari luar dan dari dalam,” tegasnya.
Jelas Ahmad Zahid lagi, MN lahir daripada keperluan mendesak dua parti terbesar Malaysia akibat daripada kehilangan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu.
Justeru katanya, MN adalah satu gagasan politik yang menawarkan kepada rakyat Malaysia sebagai satu bentuk resolusi berani dan tegas daripada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang atau kelas sosial supaya Malaysia dapat dipimpin semula dengan lebih terarah dan bertanggungjawab.
“Kerjasama UMNO dengan Pas seharusnya menjadi entiti terbaik bagi memimpin jalan kehadapannya.
“Mengapa? kerana di dalam PRU14 yang lalu, jumlah undi kepada BN yang dipimpin UMNO dan Pas boleh mencecah hampir 50 peratus undi yang mengatasi undi PH.
“Semangat MN tidak sekadar dimanifestasikan sebagai kerjasama politik, tetapi terjemahan besarnya adalah dalam satu bentuk wadah nasional lebih subur dan murni dipasakkan kepada sejarah dan watak Malaysia, Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN











