FESYEN adalah sesuatu yang mendorong dan memberi anda keberanian untuk melebarkan sayap serta melakukan pengembaraan.”
Itu petikan kata-kata pereka fesyen terkenal di Jepun, Hanae Mori dalam akhbar Yomiuri Shimbun mengenai industri peragaan.
Minat mendalam terhadap dunia fesyen yang penuh glamor membolehkan wanita ini terbang tinggi ke pelosok dunia.
Namanya bukan biasa-biasa kerana bakat semulajadi dalam seni halus ini memberi laluan kepada Mori menempa nama besar di London, Paris, Milan, Beijing dan New York.
Sejak dilahirkan di barat Jepun pada 1926, sehingga menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 96 tahun, Mori sudah menyaksikan sendiri perubahan fesyen mengikut peredaran zaman.
Mendapat jolokan sebagai Madame Butterfly, mendiang meninggal dunia di rumahnya di Tokyo, 11 Ogos lalu, akibat sakit tua.
Mori meninggalkan dua anak lelaki dan dua cucu perempuan, Hikari Mori dan Izumi Mori yang turut berkecimpung dalam dunia peragaan sebagai model.
Suaminya, Ken Mori pula meninggal dunia ketika berusia 50 tahun pada 1996.
Sudah lebih 70 tahun Mori menceburkan diri dalam dunia peragaan, sejak dia mula membuka studio butik pertama di atas sebuah kedai yang menjual mi di Tokyo, pada 1951.
Wanita ini pernah menggalas tanggungjawab menghasilkan ratusan kostum filem semasa zaman kegemilangan filem Jepun sejak 1950an.
Selepas kejayaan pertama semasa pertunjukan fesyen di New York pada 1965, dia bekerja di Amerika Syarikat dan mempunyai rumah sendiri di Avenue Montaigne, Paris, pada 1977.
Mori juga merupakan pereka fesyen Jepun dan Asia pertama yang menyertai barisan pereka haute couture pada 1977.
Dia sangat aktif di seluruh dunia sehingga menjadi satu-satunya pereka fesyen Asia yang diterima menjadi ahli La Chambre Syndicale de la Couture Parisienne.
Sepanjang 27 tahun mempersembahkan rekaan haute couture baharu di Paris pada setiap musim, Mori dikenali sebagai ‘Duta Kecantikan’ serta menerima undangan daripada pelbagai negara mengadakan pertunjukan fesyen.
INSPIRASI COCO CHANEL
Mori yang merupakan graduan Universiti Kristian Wanita Tokyo mendapat inspirasi dalam dunia peragaan selepas bertemu Coco Chanel semasa berkunjung ke Paris, 1960.
Detik itu, katanya, menjadi ‘titik perubahan’ besar dalam karier sebagai pereka fesyen.
Chanel memberikan inspirasi kepadanya untuk menghasilkan reka bentuk pakaian kepada golongan wanita.
Mori menjadi terkenal kerana motif rekaan bersayap dan selama beberapa dekad ciptaan Mori yang kelihatan mewah dipakai oleh selebriti Hollywood terkenal, Nancy Reagan dan Grace Kelly.
Dia juga merupakan perintis bagi wanita Jepun yang mengetuai sebuah syarikat antarabangsa.
Apabila dia mula mencipta nama dalam dunia fesyen, ketika itu masih luar biasa bagi seorang wanita untuk mengetuai perniagaan.
PILIHAN KERABAT DIRAJA
Gaun sentuhan seni Mori pernah dipakai oleh Puteri Mahkota Masako yang sekarang bergelar Permaisuri semasa majlis perkahwinan dengan Maharaja Naruhito, 1993.
Baju rekaannya sering menampilkan cetakan rama-rama sehingga menjadi pilihan dalam kalangan wanita bekerjaya.
Dia pernah bertanggungjawab menghasilkan rekaan bagi uniform rasmi delegasi Jepun ke Sukan Olimpik di Barcelona.
Reka bentuk pakaian Mori kerap mencampurkan unsur-unsur dari Timur dan Barat, seperti pakaian dengan inspirasi daripada kimono.
Dia juga pernah mencipta pakaian bagi persembahan di atas pentas, termasuk teater tradisional Jepun, Noh dan Kabuki serta persembahan Madame Butterfly, pada 1985.
PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA
Wanita ini pernah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat negara dan antarabangsa kerana aktiviti seninya.
Pada 1996, Mori menjadi tokoh pertama dalam industri fesyen merangkul anugerah Order of Culture.
Kejayaan demi kejayaan terus dikecapi sehingga Mori dianugerahkan Legion of Honor oleh kerajaan Perancis pada 2002.
Zaman sudah berubah secara mendadak baik dari segi cara kita hidup dan bekerja.
Hidup akan menjadi lebih warna-warni melalui pakaian yang menonjolkan diri kita yang sebenar.
Begitu juga dengan Mori yang sangat mementingkan keselesaaan dan kesegaran dalam setiap fesyen yang dihasilkan. Rekaannya pasti dikenang sepanjang zaman. – AGENSI










