TEKANAN hidup yang melampau boleh mengakibatkan dan menjejaskan kesihatan mental terutama derita atas kemurungan.
Tidak semua masyarakat memahami individu yang mengalami kemurungan namun Kaunselor Berdaftar, Dr. Rafidah Kastawi menjelaskan siapapun yang berhadapan dengan penyakit ini, ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat perlu menerima dan beri sokongan mahupun bantuan kepada mereka.
“Kemurungan adalah penyakit kesihatan mental. Pesakit ada peluang untuk sembuh dan bahagia serta menjalani kehidupan seperti biasa.
“Namun pertama sekali, siapapun yang berhadapan dengan penyakit kemurungan, paling penting ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat perlu menerima keadaan ini dan beri bantuan kepada pesakit,” katanya.
ELAK SINDIR
Beliau yang juga Pengasas Model REST menambah, tidak dinafikan, kita suka menyindir individu yang mengalami penyakit kemurungan. Harus sedar, sindiran, ungkitan dan keluhan semua itu sangat negatif dan menyakitkan.
“Oleh itu, apabila kita berhadapan dengan keadaan itu, belajar untuk mendidik diri untuk menerima. Penerimaan terhadap perasaan itu juga penting untuk memahami keadaan ini,” katanya.
TERAPI SENI EKSPRESIF SEMBUH MURUNG
Kata beliau, terdapat cara untuk menyembuhkan kemurungan antaranya terapi seni ekspresif atau dengan melakukan beberapa aktiviti.
“Didik diri melalui cara ekspresif iaitu meluahkan perasaan dengan aktiviti dan modaliti atau bercakap dengan orang yang dipercayai. Tetapi dalam keadaan begini perlu berhati-hati kerana tidak semua orang boleh memahami.
“Oleh itu, penting untuk kenalpasti diri sendiri, apa yang disukai. Jika introvert, aktiviti outdoor seperti berbasikal, berjalan dan workout boleh dilakukan. Selain itu, kebergantungan kepada Tuhan juga perlu ada. Sentiasa berdoa dan merintih agar Allah bantu untuk beri ketenangan.
“Apabila trigger sahaja datang ‘aku mula malas’, rasa tidak mahu mandi, nak duduk dalam bilik, kita perlu bangkit dan keluar terus daripada perasaan itu. Jika tidak mampu, dapatkan bantuan pakar dan profesional,” katanya.










