BN Terengganu mahu Pas jadi kerajaan sepenggal

[ANALISIS] BN Terengganu mahu Pas jadi kerajaan sepenggal

BN Terengganu menyasarkan kemenangan di 22 kerusi DUN itu untuk menumbangkan semula Pas seterusnya menjadi parti itu sebagai kerajaan sepenggal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Barisan Nasional (BN) Terengganu sekali lagi mahu memastikan Pas sekadar menjadi kerajaan sepenggal apabila berhasrat menumbangkan semula parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pas membentuk kerajaan negeri selepas memenangi PRU14 dengan selesa apabila menawan sebanyak 22 kerusi daripada 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Parti itu melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar selepas memenangi pilihan raya tersebut.

Bagaimanapun, BN menaruh keyakinan dapat merampas semula pentadbiran kerajaan negeri pada PRU15 dengan menjadikan Dr. Ahmad Samsuri senasib dengan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Hadi Awang apabila sepenggal sahaja sebagai Menteri Besar selepas memenangi PRU10 pada 1999.

BN percaya parti itu mempunyai peluang cerah merampas semula kerajaan Terengganu memandangkan rakyat negeri ini kecewa terhadap kegagalan kerajaan negeri sekarang yang didakwa gagal membawa banyak pembangunan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Pada masa sama, kerajaan Pas Terengganu juga dikatakan gagal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan sehingga ramai dalam kalangan penduduk di negeri ini terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mencari rezeki serta gagal dalam urusan menjaga kebajikan rakyat.

ROZI MAMAT

Setiausaha BN negeri, Datuk Rozi Mamat memberitahu, BN Terengganu berhasrat melakukan kejutan dengan menawan sekurang-kurangnya sebanyak 22 kerusi DUN pada PRU15.

Kemenangan 22 kerusi DUN itu begitu diharapkan untuk menumbangkan semula Pas seterusnya menjadi Pas sebagai kerajaan sepenggal.

Sebanyak 10 kerusi DUN yang dimenangi BN sebelum ini akan dipertahan dan pada masa sama mahu merampas semula 12 kerusi daripada Pas pada PRU15.

Kerusi-kerusi DUN yang disandang oleh BN sekarang adalah Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Permaisuri, Kuala Besut, Hulu Besut, Jertih dan Langkap serta kerusi Parlimen pula adalah Besut.

Sementara itu, sebanyak 12 kerusi DUN yang mahu dirampas semula adalah Chukai, Air Putih, Kemasik, Paka, Rantau Abang, Pengkalan Berangan, Alor Limbat, Kuala Berang, Ajil, Ladang, Jabi dan Kota Putera.

Bukan itu sahaja, BN Terengganu juga mahu memenangi lima daripada lapan kerusi Parlimen termasuk mempertahan kerusi Parlimen Besut.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman pula berkata, berdasarkan perkembangan semasa politik negeri itu serta penerimaan rakyat di peringkat akar umbi, Pas akan terus mengekalkan kemenangannya dengan lebih cemerlang.

Sebaliknya, beliau berkata, UMNO Terengganu akan kalah teruk selepas masih dengan pendirian bertanding secara solo dalam PRU15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×