BERA: Era darurat antara 1948 hingga 1960 menyaksikan banyak kisah kekejaman komunis tidak direkod dan menjadi ‘album keluarga’ buat warga emas di Kampung Batu Bor di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, warga emas terbabit, Hawa Deraman, 84, berkata, antara yang menjadi buah mulut adalah kisah tokoh atau individu berpengaruh ditangkap dan ditanam hidup-hidup seperti berlaku di Kampung Durian Tawar, Temerloh.
Katanya, terdapat juga kisah seorang individu ‘tidak lut’ peluru ditangkap komunis, ditanam hidup-hidup dan dituang dengan timah panas.
Menurutnya, kisah duka turut berlaku di Kampung Batu Bor apabila beberapa orang termasuk anak dara hilang tidak dapat dikesan sehingga kini.
“Saya sendiri dan beberapa rakan sebaya beberapa kali terlepas daripada ditangkap komunis kerana tangkas berlari dan menyorok.
“Saya masih ingat bagaimana saya menyorok di bawah rumah dan kepuk padi sambil mendukung seorang bayi apabila anggota komunis termasuk orang Melayu sentiasa meronda mencari penyokong Inggeris dan mencuri makanan,” katanya di sini semalam.
Hawa berkata, kekejaman komunis membunuh rakyat tempatan dengan pelbagai kisah duka melampaui kewarasan fikiran manusia normal.
“Walaupun usia saya sekitar 12 tahun pada waktu itu, setiap apa yang berlaku tetap menjadi igauan dan tergambar dengan jelas dalam fikiran sehingga sekarang.
“Menurut cerita ayah, Deraman Ismail yang juga ketua mukim ketika itu, Parti Komunis Malaya (PKM) keluar dari hutan setelah Jepun menyerah kalah 1945 dan bermaharajalela selama dua minggu.
“Pada masa itu komunis menawan balai polis Mengkarak dan Kuala Krau dan bertindak kejam membunuh orang tempatan terutama orang Melayu yang dianggap membantu Jepun,” katanya.
Beliau berkata, ketika itu kehidupan orang kampung cukup susah, makan ubi, tiada pakaian sempurna malah ada menggunakan kain guni meneruskan survival.
Tambahnya, dia bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana masih sihat minda dan fizikal serta dapat memberikan gambaran kesukaran kehidupan rakyat pada era darurat berbanding zaman alaf baharu kini.
“Di zaman darurat rakyat hidup mencari rezeki sekadarnya kerana gangguan keganasan komunis tetapi rakyat sekarang hanya dibelenggu kenaikan harga barangan,” katanya. – UTUSAN










