Bila samping digandingkan dengan songkok - Utusan Malaysia

Bila samping digandingkan dengan songkok

Model lelaki memakai samping dipadankan dengan songkok. - GAMBAR INTERNET
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak berada di fasa peralihan ke endemik ini, suasana kota dan di kebanyakkan lokasi kian rancak.

Kuala Lumpur semakin bernyawa dengan pelbagai acara dari siang membawa ke malam.

Penganjuran konsert oleh penyanyi tempatan dan antarabangsa pun, berderet-deret acaranya.

Dalam pada ramai merungut harga barangan meroket, tiket menyaksikan konsert selalu sahaja sold out.

Minggu fesyen pun sama rancaknya. Biarpun ada acara yang mencetuskan kontroversi, tetapi ia seolah-olah tidak meninggalkan kudispun pada penganjur. Barangkali sebab tiada tindakan dikenakan ke atas kesalahan itu.

Saya ingin menarik perhatian mengenai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2022 yang diadakan di ibu kota baru-baru.

Riuh di media sosial mengenai pereka Kel Wen yang menampilkan model lelaki memakai sampin dipadankan dengan songkok.

Beliau di media sosialnya menjelaskan rekaan itu hanya menunjukkan lutut seperti kebanyakan lelaki Melayu yang berfesyen sedemikian.

Biar apapun alasan diberikan untuk menegakkan benang yang basah, berfesyen dan berkarya ada batas tertentu. Seperti dijangka, hangatnya hanya membahang di alam maya.

Realitinya songkok memang digunakan untuk acara rasmi termasuk dibawa bersolat, bukannya dipakai secara suka-suka seperti topi. Ada adab dan tatasusilanya. Sama seperti serban atau turban.

Seharusnya acara sebesar itu hanya menampilkan buah tangan pereka kita yang segar dan membanggakan. ‘Sesuatu’ yang mampu menyatukan semua masyarakat, bukannya idea mengarut yang membawa kepada perbalahan.

Tidak dinafikan anak muda kita ada banyak idea dan suka mencuba sesuatu baharu tetapi biarlah idea ditampilkan tidak menyinggung mana-mana bangsa.

Tema hari kebangsaan 2022 ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang membawa selari dengan konsep keharmonian Keluarga Malaysia. Saya kongsikan maksudnya sebagai, #KeluargaMalaysia adalah merujuk kepada masyarakat yang hidup aman damai dan bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.

Teguh – bermaksud kukuh, kuat dan erat, Bersama – membawa maksud bersama-sama beserta atau bergandingan manakala Teguh Bersama, mendukung maksud kekuatan dan kesepaduan yang dicapai secara kolektif serta mampan.

Cukup-cukuplah setakat permohonan maaf dan kes selesai. Bagaimana dengan hati-hati tercalar dek perlakuan orang-orangnya?

Nor Afzan Mohamad Yusof, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×