Berkawan atau mempunyai teman-teman di sekeliling sememangnya menggembirakan kerana boleh berkongsi kegembiraan dan masalah bersama-sama.
Namun, kegembiraan itu akan menjadi sebaliknya jika persekitaran dikelilingi rakan-rakan toksik atau yang sering menyakitkan hati dan membuat diri sentiasa bersedih serta kurang keyakinan diri.
Ramai sahaja yang masih dibelenggu dalam rantaian kenalan toksik tetapi masih tidak mampu untuk keluar daripadanya kerana tidak cakna mengenai perihal itu.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian dan Perkhidmatan Kaunseling dan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Dr. Zaidi Fadzil berkongsikan ciri-ciri rakan toksik yang boleh dikenalpasti supaya mereka dapat dihindari demi kedamaian mental dan jiwa.
Antaranya adalah perwatakan mereka dalam berkawan. Rakan toksik selalunya bersikap tidak ikhlas dalam berkawan dan ia boleh dilihat melalui perwatakan yang ditonjolkan.
“Ia boleh dilihat daripada cara mereka berborak. Biasaanya rakan toksik akan berbicara tanpa memandang kita. Daripada situ kita boleh lihat kerana mata kebiasaannya akan menunjukkan keikhlasan hati.
“Selain itu, mereka juga selalu mendominasi perbualan dan sentiasa bercakap tanpa memberi peluang kepada rakan lain bercakap atau membuat perbincangan,” katanya kepada Seri.
Individu perlu peka dalam aspek pemilihan rakan sekeliling supaya terhindar daripada perkara negatif berkenaan.
Individu perlu bijak menilai antara kawan dan lawan serta mengenalpasti rakan yang sebenar melalui sikap yang ditonjolkan.
“Kawan yang baik akan bertanya khabar, kesihatan dan tahap-tahap kehidupan yang sedang kita tempuhi. Kita boleh rasa mereka ambil berat dan seperti sebahagian daripada keluarga.
“Waspada terhadap rakan yang sering mengambil kesempatan. Dalam berkawan, letakkan kepercayaan 90 hingga 95 peratus sahaja. Selebihnya letakkan rasa was-was dan berjaga-jaga supaya terhindar daripada kekecewaan dan perkara yang tidak diingini.










