SINGAPURA: Rakyat Singapura membanjiri Tambak Johor, untuk berbelanja di negara jiran itu mengambil peluang kelemahan ringgit berbanding dolar.
Rata-rata rakyat Singapura mengambil kesempatan nilai dolar yang tinggi untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan, hiburan dan perkhidmatan di negara jirannya, sehingga menyebabkan kesesakan di pintu sempadan.
Berdasarkan tinjauan Bloomberg, peningkatan tinggi kenderan untuk keluar ke Johor menyebabkan kesesakan kira-kira empat jam di pusat pemeriksaan sempadan antara Singapura-Johor, berbanding hanya kira-kira 20 minit waktu biasa.
Kesesakan semakin teruk memaksa Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan Singapura kerap mengeluarkan nasihat di radio agar orang ramai membatalkan rancangan perjalanan semasa cuti baru-baru ini.
Pengembara yang kecewa pula melayari media sosial, merakamkan insiden kemarahan di jalan raya – termasuk seorang wanita menarik plat kereta lain, manakala yang lain membuat video Tiktok tentang penantian di imigresen.
Namun, seorang suri rumah, Susan Lim, 68, tetap bersedia untuk menghadapi kesesakan itu kerana dia memerlukan pembedahan gigi. Dia memilih doktor gigi di Johor dan membayar RM700 berbanding lebih S$400 (RM1,285) jika melakukan rawatan di Singapura.
“Saya menganggapnya sebagai percutian singkat dari negara kota, dengan makanan dan perkhidmatan yang hebat seperti potongan rambut pada harga yang sangat berpatutan,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Hospital Pakar Regency berkata: “Jumlah rakyat Singapura yang mendapatkan perkhidmatan telah mencapai tahap pra-Covid dengan lonjakan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.”
Singapura adalah pulau hab perdagangan seluas 280 batu persegi (725 kilometer persegi) terletak di hujung selatan Malaysia.
Ramai penduduk kerap melakukan perjalanan merentasi sempadan ke Johor, di mana tarikan termasuk kafe santai dan restoran harga berpatutan, pantai Desaru, resort kampung dan taman tema seperti Legoland.
Rakyat Singapura kerap ke Malaysia untuk mengambil kesempatan daripada barangan dan perkhidmatan yang lebih murah, misalnya pada 2015 permintaan sangat besar sehingga pengurup wang ada kalanya kehabisan ringgit.
Ia didorong oleh pengukuhan nilai dolar berbanding ringgit, yang meningkat lebih 5 peratus berbanding ringgit pada tahun ini apabila ditutup pada rekod RM3.2473 pada 11 Ogos lalu. Rekod tukaran ringgit-dolar Singapura sebelum ini ialah 3.1681 pada Mac 2017.
Pusat pemeriksaan sempadan Singapura-Malaysia adalah antara laluan darat paling sibuk di dunia, dengan kira-kira 200,000 pengembara setiap hari sebelum wabak itu. Sejak sempadan dibuka semula pada April, aliran trafik telah meningkat secara beransur-ansur, dengan bilangan pelancong memuncak seramai 290,000 oranG sehari pada hujung minggu, Julai lalu. – AGENSI










