UMNO belum keluar sebarang kenyataan rasmi

Pertemuan tergempar: UMNO belum keluar sebarang kenyataan rasmi

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: UMNO belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pertemuan tergempar melibatkan ketua-ketua bahagian bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau enggan memberi komen lanjut berhubung pertemuan itu sehingga satu kenyataan rasmi dikeluarkan oleh parti berhubung hasil perjumpaan itu.

Menurut beliau, pihaknya juga tidak mahu memberi ulasan hanya berdasarkan kepada sumber-sumber yang tidak begitu jelas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadang-kadang, kita selalu bincang sesuatu mengikut sumber yang tidak jelas dan akhirnya menimbulkan polemik negatif yang sepatutnya dielakkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan tergempar itu yang dikatakan melibatkan satu perkara sangat penting demi masa depan parti yang mesti disegerakan.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang turut mengikuti penjumpaan berkenaan semalam turut memaklumkan bahawa seramai 158 ketua bahagian telah sebulat suara bersetuju agar PRU15 disegerakan menerusi pertemuan itu.

Dalam pada itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia memaklumkan buat masa ini, ahli parti dan pucuk pimpinan sedang berusaha menguruskan hal-hal berkaitan masa depan UMNO termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pimpinan parti mempunyai kebijaksanaan tersendiri bagi membuat keputusan terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×