BENGALURU: Harga emas mencecah paras terendah dalam tempoh lebih tiga minggu pada Isnin, dibebani oleh dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih kukuh dan jangkaan lebih banyak kenaikan kadar daripada Rizab Persekutuan (Fed) AS yang mahu meredakan inflasi yang melonjak.
Emas spot mendatar pada AS$1,747.55 (RM7, 831.65) seauns, selepas mencecah paras terendah sejak 28 Julai pada AS$1,743.83 (RM7,814.97) dalam dagangan awal Asia. Niaga hadapan emas AS susut 0.1 peratus kepada AS$1,761 (RM7,891.92) setiap auns.
Ketua Ekonomi ACY Securities, Clifford bennett berkata, pemulihan dolar AS yang meningkat sudah tentu akan menjejaskan pasaran emas, tetapi ia nampaknya selaras dengan penjualan yang dilihat merentas bon, saham dan mata wang
“Di mana-mana pun terdapat jangkaan harapan palsu seperti Fed akan bertindak lebih perlahan namun jangkaan itu kelihatan semakin hilang.
“Dolar AS meningkat lebih tinggi dalam sebulan berbanding pesaingnya, menjadikan emas lebih mahal bagi pembeli yang memegang mata wang lain,” katanya.
Penanda aras Hasil Perbendaharaan 10 tahun meningkat ke tahap tertinggi dalam sebulan, meningkatkan kos peluang untuk memegang emas yang tidak memberi hasil.
Fed akan menaikkan kadar sebanyak 50 mata asas pada September di tengah-tengah jangkaan inflasi yang melonjak dan kebimbangan kemelesetan ekonomi yang semakin meningkat, menurut ahli ekonomi dalam tinjauan Reuters.
Pedagang kini menetapkan harga sekitar 46.5 peratus peluang kenaikan kadar 75 mata asas pada September dan 53.5 peratus peluang peningkatan 50 mata asas selepas kenyataan agresif daripada pegawai Fed baru-baru ini.
Tumpuan minggu ini akan diberikan kepada komen Pengerusi Fed, Jerome Powell semasa beliau berucap pada persidangan perbankan pusat global tahunan di Jackson Hole, Wyoming pada Jumaat.
Emas kini sangat sensitif terhadap kenaikan kadar faedah AS kerana itu meningkatkan kos peluang untuk memegang jongkong yang tidak memberi hasil. – AGENSI










