PETALING JAYA: Penganjuran Konvensyen Perikatan Nasional (PN) pada 27 Ogos ini akan menjadi medan untuk gabungan berkenaan membincangkan strategi dan persediaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, penganjuran Konvensyen PN sempena ulang tahun kedua gabungan berkenaan amat tepat pada masanya.
“Konvensyen PN akan bincang segala persediaan menjelang PRU15, kita mahu bersiap sedia dan membentuk perpaduan antara parti semasa kita ‘berperang’ dalam pilihan raya yang semakin hampir.
“Kita akan fokus dan bincangkan strategi terbaik bagi memastikan PN mendapat kepercayaan rakyat. Sekarang semua parti ada strategi tersendiri dan kita juga tidak terkecuali,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkara-perkara yang akan dibangkitkan pada Konvensyen PN bersempena tahun kedua gabungan berkenaan pada 27 Ogos ini.
Ditanya sama ada perancangan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo pada PRU15 akan dibincangkan dalam Konvensyen PN, Dominic yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata, PN tidak akan mencampuri urusan parti lain kerana gabungan itu juga ada strateginya sendiri.
“Tiada apa-apa kesan (BN bergerak solo) tetapi, kita kena buat persiapan terbaik kerana kita tidak mahu apabila Parlimen dibubarkan PN masih berada dalam keadaan tidak bersedia, Jadi Konvensyen PN kali ini tepat pada masanya,” katanya.
Mengulas persediaan Gerakan, Dominic berkata, parti berkenaan sudah berada dalam mood pilihan raya dan segala persiapan telah dilakukan termasuk meneliti kerusi-kerusi yang akan diwakili nanti.- UTUSAN











