KUCHING: Barisan Nasional (BN) akan tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) jika serangan Pakatan Harapan (PH) berterusan.
Menurut penganalisis politik Universiti Malaya Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, kenyataan presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan PRU harus disegerakan atau UMNO BN akan kalah adalah berdasarkan realiti semasa landskap politik negara.
Awang Pawi berkata, BN kini hanya bergantung kepada perpecahan dalam gabungan pembangkang untuk membolehkannya memenangi PRU 15.
“Ketika ini serangan PH bertubi-tubi dan jika ini berterusan BN akan tewas oleh serangan politik persepsi yang dimainkan oleh pembangkang” kata Awang Azman.
Beliau turut sependapat dengan kenyataan Ahmad Zahid bahawa tindakan melengah PRU15 akan memberi peluang kepada parti lawan terus menyerang UMNO dan BN.
“Apabila ruang berunding dan bekerjasama sesama pembangkang pula semakin terbuka dan kesatuan pembangkang dijangka menjadi lebih baik dengan adanya masa yang panjang ini,” tambahnya.
Mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa sukar untuk mempercepatkan PRU15 disebabkan terlalu banyak masalah negara dan rakyat belum diselesaikan, Awang Azman berkata: “Kelembapan ekonomi dunia adalah situasi yang tidak ada jaminan mutlak dapat diselesaikan kerana ia merupakan isu global yang melanda seluruh dunia sekarang.
“Malah kemungkinan situasi menjadi lebih teruk pada masa akan datang juga tidak dapat dielakkan.”
Beliau juga tidak menjangka keputusan mahkamah berhubung kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta kes mahkamah Ahmad Zahid akan menjejaskan peluang BN untuk menang dalam PRU 15.“
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Johor dan Sarawak, isu-isu rakyat dan juga kes mahkamah dan skandal Najib dan Ahmad Zahid serta pemimpin UMNO lain tiada impak ketara.
“Ini bermakna ia sekadar kocakan dalam cawan dan tidak akan memberi impak yang ketara, malah ia tidak akan menjejaskan peluang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam PRU 15,” katanya.
Beliau juga berpendapat skandal terbaharu berhubung kapal tempur pesisir (LCS) tidak akan menjejaskan peluang kerajaan UMNO-BN selagi tidak ada keputusan sabitan mahkamah dilakukan.- UTUSAN











