Beri SPRM kuasa pendakwaan - Utusan Malaysia

Beri SPRM kuasa pendakwaan

wakil rakyat
RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diawasi oleh Parlimen secara undang-undang dan diberikan kuasa pendakwaan sendiri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, hal itu supaya membebaskan negara daripada stigma negatif dunia, yang sekarang memandang Malaysia sebagai ‘kancah rasuah terbesar dunia’.

Menurut beliau, langkah memberikan kuasa pendakwaan sendiri bagi SPRM boleh dicapai jika Artikel 145 dipinda, dengan tambahan supaya Peguam Negara boleh mewakilkan kuasa pendakwaan kepada SPRM atau mana-mana pihak yang afdal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada hemah saya, setelah melihat perkara ini dari dekat dan jauh, malah sekarang saya Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), jadi saya dan rakan-rakan berpendapat SPRM harus diawasi oleh Parlimen secara undang-undang.

“Kami mencadangkan supaya ia diawasi di bawah Seksyen 14 atau 15 Akta SPRM, yakni Parlimen mengawasi perjalanan SPRM, tapi tidak campur tangan dalam pendakwaan.

“Itu yang kita fikir terbaik dalam situasi Malaysia sudah dituduh sebagai kancah rasuah terbesar dunia. Benar perkara ini, kita sudah tak dapat lari. Malah dalam filem Tamil pun sudah sebut kita,” katanya di sini, semalam.

Undang-undang lapuk

Menjelaskan lanjut, beliau berkata bahawa pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan, hanya tertakluk kepada Perkara 145 yang merupakan undang-undang lapuk, dan sewajarnya diberikan nafas baharu yang lebih sesuai dengan iklim perundangan negara masa kini.

“Isu kuasa dan juga penentuan pendakwaan ini, kalau diteliti pendakwaan di bawah Perlembagaan Persekutuan, hanya tertakluk kepada Perkara 145.

“Ia menentukan bahawa hanya pendakwa raya yakni Peguam Negara yang boleh membuat pendakwaan di mahkamah, atau memutuskan untuk tak dibawa, atau memberhentikan sesuatu kes jenayah. Itu di bawah Perkara 145, sudah wujud sejak 1957.

“Setelah 65 tahun negara merdeka, peruntukan ini tak pernah disemak dan tak pernah dikaji oleh pihak yang memegang kuasa. Hal itu dibawa masuk oleh Suruhanjaya Reid pada 1957. Sekarang sudah 65 tahun kita merdeka, tapi masih pakai yang orang putih atau penjajah sediakan untuk kita,” katanya.

Justeru, Rais berkata, sudah sampai masanya kerajaan merombak kembali undang-undang berkaitan kuasa pendakwaan, bagi membolehkan SPRM berdiri sendiri dalam membuat pendakwaan tanpa serpihan pengaruh mana-mana pihak.

“SPRM perlu diawasi oleh Parlimen Malaysia dan bukan oleh mana-mana pihak di bahagian Eksekutif. Sekarang, badan Eksekutif yang kawal SPRM. Eksekutif itu bermakna, Perdana Menteri. Jadi, dalam keadaan itu mahu atau tidak, akan ada serpihan pengaruh bagi SPRM untuk menjalankan tugas. Atau bagi ketua SPRM dikenakan sesuatu.

“Jadi sekarang keadaan itu sudah sedemikian, jadi memang sepatutnya SPRM diberikan delegasi tanggungjawab mendakwa oleh Peguam Negara atau oleh Pendakwa Raya sendiri. Dan ini perlu dimasukkan ke dalam undang-undang secara bertulis.

“Sebaiknya, Artikel 145 itu dipinda sedikit, iaitu dengan bahasa lebih kurang, Peguam Negara bolehlah mewakilkan kuasa pendakwaan kepada SPRM atau mana-mana pihak yang afdal,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×