PETALING JAYA: Kerajaan sekali lagi digesa mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secepat mungkin atau berdepan risiko UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas kepada pembangkang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, langkah melengahkan pilihan raya bermakna UMNO memberikan senjata kepada musuh parti itu untuk terus menyerang.
“Sebab itu, tidak ada satu pun pembangkang minta bubar Parlimen walaupun dahulu selalu memperlekeh kerajaan yang ada sekarang bukan mandat rakyat, kerajaan pintu belakang dan sebagainya. UMNO tidak mahu pembangkang terus menggunakan bulan-bulan terakhir sebelum bubar Parlimen untuk menyerang BN.
“Ketika ini pembangkang sedang menggunakan pelbagai persepsi untuk menggugat keyakinan akar umbi. Isu yang dikemukakan pembangkang berbentuk serpihan dan tidak dilihat dari perspektif menyeluruh.
“Dengan kata lain, mereka serang, putar belit dan kemudian cuba cetuskan imej bahawa mereka terbaik walaupun PH berkuasa 22 bulan membuktikan sebaliknya sehingga Perdana Menteri mereka sendiri meletak jawatan apabila tahu manifesto mereka tak dapat ditunaikan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berkata, kebimbangan pembangkang dapat dilihat apabila bekas Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad terpaksa mengakui pendirian UMNO yang mahukan PRU15 raya diadakan lebih awal, kerana yakin rakyat masih memandang tinggi terhadap parti itu.
“Beliau terpaksa mengakui dari sudut kerajaan, pilihan raya awal adalah satu perkara yang baik kerana kerajaan sudah bersedia dan pembangkang pula tidak bersedia,” katanya.
Justeru, beliau berkata, selaras dengan pendirian UMNO yang sejak dahulu mahukan PRU15 disegerakan, maka kini terserah kepada pucuk pimpinan kerajaan untuk menyegerakan tuntutan akar umbi dan seluruh parti itu.
Tuntutan agar PRU15 diadakan segera bukanlah gesaan yang baharu dibuat UMNO, sebaliknya sudah bermula sejak Februari 2020 lagi.
Dalam satu program Bual Bicara sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika kerajaan PH jatuh pada penghujung Februari 2020, UMNO ketika itu sudah mempersembahkan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan.
Waktu itu katanya, UMNO berpandangan menyerahkan semula mandat kepada rakyat adalah jalan terbaik menamatkan kekusutan politik yang berlaku, namun ia tidak dipersetujui. – UTUSAN










