Dari personaliti TV ke pelarian - Utusan Malaysia

Dari personaliti TV ke pelarian

SHABHNAM Darwan tidak menyangka kehilangan kerjaya sekelip mata selepas Taliban menguasai semula Afghanistan. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA Taliban mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan Afghanistan pada Ogos tahun lalu, kebanyakan golongan wanita di negara itu bersetuju bahawa ‘kehidupan mereka sudah berakhir’.

Perasaan itu turut dirasai oleh seorang bekas penyampai televisyen yang tidak sama sekali menyangka kerjayanya akan musnah dan kini bergelar pelarian.

Pada 14 Ogos 2021, malam sebelum Taliban menguasai Kabul, Shabhnam Dawran sedang membuat persiapan untuk menyampaikan berita untuk Radio Television Afghanistan.

Personaliti televisyen berusia 24 tahun itu merupakan bintang yang meningkat naik dan kemunculannya sentiasa dinantikan oleh semua penonton dengan ada golongan wanita yang menjadi­kannya sebagai sumber inspirasi.

“Saya terlalu emosi sehinggakan saya tidak mampu untuk membaca berita utama. Penonton yang menyaksikan saya di rumah pasti tahu apa yang saya lalui ketika itu,” katanya.

Apabila dia bangun keesokan paginya, Kabul sudah pun jatuh ke tangan Taliban, malah terdapat satu imej yang menunjukkan seorang pejuang Taliban turut duduk di kerusi yang diduduki Shabhnam sebelum itu untuk membaca berita.

Menerusi sidang akhbar pertama, jurucakap Taliban memberitahu kepada media bahawa golongan wanita di Afghanistan ‘boleh bekerja sama seperti kaum lelaki’.

Perkara itu melegakan Shabhnam dan dia bersiap sedia untuk pergi ke pejabat bagi melakukan tugasannya.

Namun, sebaik sahaja dia tiba di pejabat, wanita itu berdepan dengan anggota Taliban dan dimaklumkan, hanya petugas lelaki yang dibenarkan memasuki premis berkenaan.

“Saya dimaklumkan oleh anggota Taliban yang berkawal bahawa hanya pekerja lelaki dibenarkan bertugas dan Emiriah Afghanistan yang merujuk kerajaan baharu masih belum ‘memikirkan soal nasib wanita’.

“Mereka menyuruh saya pulang ke rumah dan menyatakan era saya sudah berakhir buat selama-lamanya,” ujar Shabhnam.

KELUARGA JADI SASARAN
Wanita itu yang tidak berpuas hati dengan alasan diberikan Taliban membuat video menyatakan kemarahannya dan berkongsi dalam media sosial.

Perkara itu secara tidak langsung menyebabkan Shabhnam dan keluarganya menjadi sasaran Taliban.

Tanpa berfikir panjang dan tidak mahu keluarganya diapa-apakan, Shabhnam mengemas beg pakaiannya dan meninggalkan Kabul beberapa hari kemudian sambil membawa dua adiknya, Meena dan Hemat.

HIDUP BAHARU
Shabhnam dan dua adiknya tiba di United Kingdom bersama ribuan lagi pelarian Afghanistan.

Sebagai pelarian yang tidak fasih berbahasa Inggeris dan prospek pekerjaan yang terhad, Shabhnam berdepan kesukaran untuk menyesuaikan dirinya dengan suasana baharu di negara yang disifatkan terlalu asing buatnya.

“Saya kehilangan kerjaya saya selama enam tahun di Afghanistan begitu sahaja. Kini, saya perlu belajar bahasa Inggeris dan melanjutkan pengajian di universiti.
“Saya masih ingat bagaimana hari pertama kami tiba di UK.

“Kami tidak mampu untuk membeli barangan keperluan kerana kami tidak tahu bertutur bahasa Inggeris, kami takut untuk bertanya kerana sudah pasti orang di sini tidak memahami bahasa kami,” katanya.

Kini, sudah setahun Shabhnam dan keluarganya menjadi pelarian di UK, malah mereka berpeluang tinggal di sebuah rumah kecil, berbeza dengan kebanyakan pelarian lain yang masih tinggal di hotel disediakan kerajaan UK.

“Kehidupan kami bermula sekarang. Kami perlu bermula dari bawah, namun tidak mengapa asalkan kami berasa lebih baik dan selamat,” jelasnya.

Biarpun masih cuba memahami budaya yang berbeza, Shabhnam tidak mahu menjadikan masalah itu sebagai halangan, sebaliknya pendorong untuk dia lebih rajin berusaha.

BEREBUT DENGAN PELARIAN UKRAINE
Masih ramai pelarian Afghanistan yang tinggal di UK ketika ini belum mendapat pekerjaan atau tempat tinggal yang sewajarnya.

Mereka hanya ‘dikurung’ di sejumlah hotel yang disediakan dan menunggu bilakah peluang untuk bekerja dan menjalani kehidupan seperti rakyat UK yang lain.

Menurut Shabhnam, masalah itu timbul selepas UK turut menerima kemasukan sejumlah pelarian dari Ukraine akibat peperangan yang meletus.

Katanya, kerajaan Britain terpaksa membahagikan sumber dan bantuan kepada dua kumpulan pelarian, iaitu Ukraine dan Afghanistan.

“UK menetapkan had bagi kemasukan pelarian Afghanistan ke negara ini, namun tidak bagi pelarian Ukraine.

“Keadaan itu secara tidak langsung menyebabkan pelarian Afghanistan disisihkan tanpa hala tuju dan terpaksa bersaing dengan pelarian Ukraine,” ujarnya.

TIDAK AKAN LUPA AFGHANISTAN
Biarpun sudah memulakan kehidupan di UK, Shabhnam sesekali tidak akan melupakan negara asalnya.

“Di situlah tumpahnya darah dan air mata kami sekeluarga.

“Afghanistan tetap di hati, walau di mana kami berada. Kami berharap situasi dapat dipulihkan segera dan jika semuanya sudah baik, kami tidak teragak-agak untuk pulang dan berbakti semula untuk negara kami,” kata Shabhnam. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×