Ketahui tanggungjawab ibu bapa terhadap anak angkat - Utusan Malaysia

Ketahui tanggungjawab ibu bapa terhadap anak angkat

AIDA HASHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Belum reda kes penderaan kes penderaan kanak-kanak istimewa yang dikenali sebagai Bella, rakyat Malaysia dikejutkan dengan penularan video yang memaparkan seorang wanita memukul anak angkatnya berusia empat tahun menggunakan penyapu gara-gara enggan makan nasi.

Bukankah anak itu merupakan amanah daripada Allah, tidak kiralah sama ada permata hati itu daripada zuriat sendiri atau tidak?

Pegawai Psikologi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Aida Hashim berkata, Dasar Perlindungan Kanak-kanak Negara menafsirkan penderaan kanak-kanak sebagai satu pencabulan atau pelanggaran serius terhadap hak mereka untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah, di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

Tambah Aida terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan ibu bapa sanggup melakukan penderaan khususnya yang melibatkan anak angkat.

“Penderaan mungkin berlaku kerana secara psikologi belum bersedia ada komitmen sebagai ibu bapa kerana belum merasai perasaan sebenar sebagai ibu bapa biologi. Selain itu, mereka juga merasa terganggu dengan komitmen baharu sebagai ibu bapa angkat sedangkan mengambil anak angkat kerana mengikut trend semasa.

“Tidak ketinggalan, mereka kurang rasa kasih sayang sebagai seorang ibu bapa sehingga sanggup melepaskan tekanan emosi kepada anak angkat,” katanya kepada Seri.

IMPAK DERA PADA KANAK-KANAK
Tanpa disedari, akhirnya penderaan ini memberi kesan terhadap anak mereka.

Penderaan memberi kesan trauma kepada anak angkat sehingga mengganggu perkembangan psikologi dan psikososial kanak-kanak berkenaan seperti tingkah laku pasif dan anti sosial.

Penderaan akan memupuk tingkah laku delinkuen kanak-kanak sehingga timbul keberanian melakukan perkara agresif atau sehingga melibatkan perbuatan jenayah.

Pada peringkat yang lebih teruk, penderaan akan menyebabkan faktor gangguan kesihatan mental bagi kanak-kanak yang terlibat.

“Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya ibu bapa tahu dan faham kewajipan penjaga terhadap anak angkat. Paling penting mereka perlu memahami tanggungjawab sebagai seorang ibu bapa dengan melindungi, menjaga dan membimbing mereka supaya dapat membina kehidupan yang baik.

“Mereka perlu bertanggungjawab memberi kasih sayang yang sewajarnya. Ibu bapa juga harus memberi sokongan agar anak angkat dapat melalui tahap perkembangan personalnya secara normal. Akhirnya, ibu bapa perlu memastikan kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak dijaga dengan baik,” jelasnya.

Nasihat Aida kepada mereka yang ingin mengambil anak angkat supaya membuat persediaan awal.

Ini termasuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran menjaga kanak-kanak sama ada melalui pembacaan dan pengalaman orang lain membesarkan anak.

“Mereka yang ingin bergelar ibu bapa juga perlu membuat penilaian kendiri sama ada bersedia atau tidak untuk menjaga seorang anak angkat. Dapatkan nasihat dan bimbingan profesional seperti kaunselor sekiranya berada dalam keadaan dilema untuk mengambil anak angkat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×