RAMAI pelanggan terpedaya apabila melihat aktiviti jualan cedok-cedok di media sosial terutama TikTok. Ada yang menganggap ia jualan murah kerana dikira sama seperti borong tanpa had.
Barangan yang dijual antaranya seperti gula-gula, perhiasan dan produk kosmetik dengan menjualnya kepada pelanggan dengan pelbagai harga. Namun ia sebenarnya memberi laluan kepada peningkatan dalam kes penipuan dalam talian.
Timbalan Presiden Persekutuan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kegiatan ini tidak disarankan oleh beberapa pihak berkuasa kerana pelanggan berisiko ditipu.
“Dalam transaksi jual beli, barangan dijual dan harganya hendaklah dinyatakan. Bagaimanapun, melalui jualan cedok-cedok ini, unsur-unsur penipuan boleh berlaku, sama seperti bermain mesin claw.
“Harga dan kuantiti barangan itu tidak dinyatakan dengan jelas. Ia menyebabkan kuantiti barangan yang akan diterima pengguna tidak menentu dan bergantung kepada jumlah barangan yang dicedok,” katanya.
SEBAB ISLAM LARANG CEDOK-CEDOK:
* Mufti Pejabat Wilayah Persekutuan, trend ini mengandungi unsur-unsur seperti gharar (ketidakpastian), maisir (judi) dan menafikan hak pembeli untuk khiyar (memilih).
Unsur gharar wujud dalam setiap transaksi cedok-cedok, yang mana pelanggan tidak tahu berapa banyak barangan yang akan mereka terima dan sama ada ia berbaloi atau tidak.
* Sekiranya penjual masih mahu menjalankan aktiviti ini, mereka sekurang-kurangnya hendaklah menyatakan jumlah minimum barangan yang pembeli bakal terima.
* Orang ramai perlu mengelak daripada terlibat dalam transaksi sedemikian dan mengenal pasti sama ada penjual menggunakan strategi yang melibatkan apa-apa yang dilarang oleh syarak agar memastikan sebarang keuntungan yang diperoleh adalah halal.
* Pengguna yang membuat pembelian berpandukan maklumat cukup dan mengelak daripada bermain gimik pemasaran yang tidak mempunyai ketelusan dalam jualan mereka, terutamanya memandangkan populariti platform media sosial semakin kerap digunapakai oleh penjual.










