WASHINGTON: Twitter Inc. telah diperintahkan untuk menyerahkan fail daripada bekas ketua produk penggunanya mengenai akaun spam dan bot kepada Elon Musk sebagaimana dibangkitkan oleh bilionair itu dalam usaha membatalkan pembelian bernilai AS$44 bilion (RM196.37 bilion) syarikat itu.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Chancery Delaware, Kathaleen St. J. McCormick berkata, Twitter tidak perlu mengemukakan dokumen untuk kebanyakan pekerja yang dikatakan Musk adalah saksi utama dalam isu berkenaan.
Twitter sebelum ini memfailkan saman ke atas Musk di mahkamah berkenaan bagi mendesak beliau meneruskan pembelian syarikat media sosial itu.
Musk bulan ini menuduh Twitter menyembunyikan nama pekerja yang bertanggungjawab secara khusus untuk menilai berapa banyak pangkalan pelanggan platform itu terdiri daripada akaun spam dan robot, dan meminta hakim `memaksa’ Twitter mengenal pasti mereka, lapor Reuters.
Setakat ini Twitter telah melepaskan nama “penjaga rekod,” yang tidak begitu biasa dengan data yang dipersoalkan.
Kelmarin, Hakim McCormick menolak kebanyakan permintaan Musk dalam keputusan satu halaman beliau yang memerintahkan bahawa, Twitter tidak perlu “mengumpul, menyemak atau menghasilkan dokumen” daripada mana-mana 21 penjaga tambahan lain yang diminta defendan.
Pengecualian turut diberikan kepada Kayvon Beykpour, bekas ketua produk pengguna, yang dipecat pada Mei lalu.
Beykpour adalah eksekutif produk teratas di Twitter selama bertahun-tahun sebelum beliau secara tidak dijangka dipecat oleh ketua pegawai eksekutif baharunya, Parag Agrawal.
Menurut laporan, pasukan produk Beykpour adalah pihak yang paling bertanggungjawab secara langsung untuk mengembangkan pangkalan pengguna Twitter dan kualiti pangkalan itu telah dipersoalkan oleh Musk dalam usaha beliau untuk membatalkan perjanjian pembelian Twitter.
Beykpour menyertai Twitter pada 2015 apabila syarikat itu memperoleh aplikasi video langsungnya, Periscope, dan dengan cepat ia mendapat sambutan di bawah bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Jack Dorsey. Sebelum disingkirkan, beliau telah memacu pertumbuhan Twitter ke arah produk baharu seperti ruang audio langsung dan surat berita.
Peguam Twitter dan Musk telah mengeluarkan sepina kepada bank, pelabur dan peguam yang terlibat dalam perjanjian itu, ketika kedua-dua pihak bersedia untuk perbicaraan pada 17 Oktober ini di Wilmington.
Dalam samannya, Twitter mendakwa Musk menggunakan kebimbangan mengenai spam dan akaun bot sebagai alasan untuk membatalkan perjanjian pembelian yang dibuat sebelum ini.
Musk pula berhujah bahawa syarikat itu telah gagal menunjukkan bahawa spam bot menyumbang kurang daripada 5 peratus pengguna aktif Twitter. – AGENSI










