KUALA NERUS: Pas tetap berhasrat mahu mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai hubungan kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas masih lagi membuka pintu rundingan walaupun terdapat beberapa pemimpin UMNO menyatakan parti itu ingin bertanding secara solo pada pilihan raya umum nanti.
Menurutnya, beliau mengharapkan rundingan tersebut dapat diadakan segera sebelum PRU15 memandangkan terdapat kenyataan yang berbeza-beza dalam kalangan pemimpin UMNO mengenai MN.
“Oleh kerana pilihan raya belum lagi, masih ada ruang untuk melakukan perbincangan. (Pas) akan teruskan usaha supaya objektif besar kita mampu dicapai.
“Kelompok parti-parti Melayu Islam yang besar dalam negara dapat berbincang dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik, bukan untuk ummah sahaja, tapi untuk negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Peringkat Negeri Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Seramai 408 bekas pegawai dan anggota polis di negeri ini menerima anugerah tersebut.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan sebelum ini berkata, keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bergerak solo pada PRU15 adalah muktamad dan diputuskan sebulat suara oleh parti.
Mohamad berkata, parti itu yakin mempunyai potensi untuk menang namun perlu bekerja keras untuk meraih lebih banyak kerusi.
Ahmad Samsuri yang juga Bendahari Perikatan Nasional (PN) memberitahu, PN mahu menetapkan tarikh baharu untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengadakan pertemuan pada 4 Ogos lalu.
Menurutnya, delegasi PN memerlukan masa yang lain bagi membolehkan mereka berjumpa dengan Perdana Menteri.
“Secara rasminya memang kita masih lagi akan usahakan supaya wakil daripada PN merangka delegasi untuk bertemu dengan Perdana Menteri,” jelasnya.
Ketika ditanya adakah perjumpaan itu menyentuh tuntutan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Ahmad Samsuri berkata, Perdana Menteri maklum tuntutan daripada PN walaupun tidak disebut dalam perjumpaan sebelum ini. – UTUSAN











