ALOR SETAR: UMNO Bahagian Alor Setar mengakui sokongan daripada Pas diperlukan sekiranya mereka diberi peluang bertanding di Parlimen berkenaan bagi memastikan dapat merampas kerusi itu daripada tangan Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail, pertembungan antara kedua-dua parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) hanya akan membawa kemenangan kepada PH.
“Walaupun tiada kesepakatan di peringkat atas, tetapi saya seru ahli-ahli kita serta orang UMNO sekiranya UMNO bertanding di Parlimen Alor Setar ini, tuan-tuan perlu dapatkan sokongan daripada sahabat kita Pas.
“Kalau tidak UMNO tak menang, Pas tak menang. Yang menang adalah PH ibaratnya gajah sama gajah berperang, yang untung orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) PRU-15 Peringkat Parlimen Alor Setar di Taman Budiman, malam tadi.
Ketika ini, UMNO Bahagian Alor Setar diketahui umum menuntut supaya kerusi tersebut diserahkan kepada mereka setelah MCA gagal memenanginya sejak beberapa PRU lepas.
Terdahulu, Mohd. Yusof menyifatkan Muafakat Nasional (MN) sebagai gabungan terbaik memandangkan hitungan sebelum ini menjangkakan mereka mampu meraih sehingga 148 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu.
Namun katanya, beliau berpandangan MN kini sudah berada di penghujung dengan beliau bersama pasukannya dijangka berada di Kuala Lumpur bagi proses memulihkan semula MN.
“Tetapi kalau dilihat kepada kenyataan dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, kalau beliau nak mengata pun biarlah berlapik kerana kita ini orang Melayu. Beliau menyindir, mengata UMNO dengan menyatakan ‘mailah’ kalau nak tumpang Pas.
“Janganlah cakap begitu kerana dalam hidup, kita tak boleh angkuh dan riak. Kalau nak jemput, jemput elok-elok dan kalau nak panggil, kita bermusyawarah sebab beliau menjadi Menteri Besar pun hasil daripada UMNO.
“UMNO yang melaksanakan tugasan awal untuk membolehkan beliau menjadi Menteri Besar. Walaupun UMNO cuma ada dua kerusi pada masa itu, tetapi parti inilah yang memainkan peranan membolehkan beliau menjadi Menteri Besar dan saya menyeru kepada kepimpinan sama ada UMNO atau Pas untuk kita bermuhasabah diri,” katanya.
Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Mohd. Yusof berkata, usaha menyatukan kedua-dua parti boleh dimulakan dari bawah dengan akar umbi kedua-dua parti mengadakan perbincangan terlebih dulu sebelum diangkat ke peringkat atasan masing-masing.
“Kalau bertembung UMNO dan Pas, memang PH yang untung. Jadi pemimpin atasan perlu lihat dan janganlah sampai nak jaga ego atau pendirian, menyebabkan bangsa atau negara ini tergadai kepada orang lain.
“Pemimpin UMNO dan Pas kena duduk sekali dan kalau kena korban, berkorbanlah kerana saya tengok, akan ada yang terkorban. Masalah ini jangan kita tengok kepada kepentingan peribadi sebaliknya lihat kepentingan ummah dan biarlah kehilangan satu atau dua kerusi tetapi negara masih dalam kekuasaan kita daripada hilang seluruh kuasa seperti PRU-14 lalu,” katanya. – UTUSAN











