TOKYO: Jepun, ekonomi ketiga terbesar dunia, telah pulih kepada saiz suku kedua pra-pandemik apabila perbelanjaan pengguna meningkat berikutan berakhirnya sekatan Covid-19 ke atas perniagaan.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun berkembang pada kadar tahunan sebanyak 2.2 peratus suku kedua tahun ini, berada di bawah anggaran median sebanyak 2.6 peratus, menurut data kerajaan.
Ia meningkatkan saiz ekonomi negara berkenaan kepada AS$4.1 trilion (RM, melebihi paras pada akhir 2019. KDNK suku pertama disemak kepada pengembangan daripada penguncupan sebelumnya, lapor Reuters.
Ahli ekonomi Institut Penyelidikan Norinchukin, Takeshi Minami berkata, ekonomi Jepun berjaya kembali ke saiz pra-pandemik, tetapi kadar pemulihannya lebih perlahan berbanding negara lain.
“Saya menjangkakan pertumbuhan akan berterusan pada suku ketiga juga, tetapi ia mungkin akan kehilangan momentum di masa depan,” katanya.
Pemansuhan sekatan pandemik ke atas perniagaan pada akhir Mac membantu merangsang ekonomi. Perbelanjaan pengguna, yang menyumbang lebih separuh daripada pengeluaran ekonomi Jepun, mendahului pertumbuhan, begitu juga dengan perbelanjaan modal.
Kelonggaran peraturan Covid-19 mengakibatkan peningkatan perbelanjaan di restoran dan hotel serta pakaian.
Namun, keuntungan lebih terhad daripada jangkaan beberapa bulan lalu, menunjukkan bahawa permintaan terpendam dalam kalangan pengguna adalah sederhana.
Sementara itu, ahli ekonomi, Yuki Masujima berkata, melangkah ke hadapan, pihaknya menjangkakan pertumbuhan akan perlahan pada suku ketiga.
“Kos yang berterusan mendorong inflasi dan lonjakan kes baharu Covid-19 menunjukkan risiko kerugian kepada pemulihan. Itu mungkin akan mengatasi sebarang rangsangan daripada pembinaan semula inventori,” katanya.
Walaupun ekonomi kembali kepada saiz pra-pandemik, pakar ekonomi menjangkakan bank pusat akan berpegang kepada dasar pelonggaran semasanya dan kerajaan akan terus memberikan sokongan untuk isi rumah yang dilanda pandemik dan kenaikan harga.
Manakala ekonomi maju di negara lain melakukan sebaliknya dengan menaikkan kadar faedah untuk menyejukkan permintaan dan inflasi yang berleluasa. – AGENSI










