3,699 aduan data peribadi bocor sejak 2017 - Utusan Malaysia

3,699 aduan data peribadi bocor sejak 2017

Mazmalek Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aktiviti pendaftaran maklumat diri secara dalam talian untuk urusan be­li barangan dan perkhidmatan antara punca pengguna ter­dedah kepada kebocoran mak­lumat peribadi, seterusnya di­sa­lahguna pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Antara kebocoran yang mudah berlaku termasuk ketika pengguna membeli talian te­lekomunikasi, mendaftar untuk membeli tiket kapal terbang dan paling biasa mendaftar maklumat diri untuk membeli barang di pelbagai platform e-dagang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peri­badi (JPDP), Masmalek Mohamad berkata, sejak 2017 sehingga Julai lalu, sebanyak 3,699 aduan diterima jabatan tersebut membabitkan penyalahgunaan maklumat sulit peribadi pengguna.

Menurut beliau, pihaknya mendapati data peribadi yang bocor kepada pihak lain melalui perkhidmatan yang memerlukan pendaftaran pengenalan diri untuk pelbagai urusan se­hingga ada yang menjadi mangsa penipuan.

“Antaranya urusan transaksi komersial seperti pembelian barangan, pendaftaran kad perbankan, hartanah, pendaftaran untuk tujuan pemasaran, kesihatan dan lain-lain,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini.

Maklumat

Kata beliau, ini berlaku apabila pengguna tidak sedar bahawa maklumat peribadi mangsa disimpan dengan selamat atau sebaliknya selain tidak dapat memastikan ia dihapuskan mengikut prosedur.

“Setiap urusan pendaftaran dan pembelian memerlukan data peribadi diri seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon namun ia berisko terdedah kepada pelbagai ancaman.

“Kita ada mengesan ejen per­khidmatan telekomunikasi mengambil salinan nombor kad pengenalan sebelum diserahkan kepada sindiket untuk mendaftar nombor lain secara tidak sah malah ada data peri­badi disalah guna untuk mendaf­tar masuk hotel oleh individu lain.

“Hal ini juga berlaku melibatkan hartanah apabila ada ramai mengadu menerima mesej dan WhatsApp daripada wakil terbabit. Kita hairan bagaimana dapat nombor mereka. Apabila kita tanya, ada dakwa dapat secara sukarela atau daripada pihak lain,” katanya.

Masmalek memberitahu, kebocoran data peribadi juga berlaku apabila kelalaian tersebut berlaku dari pihak pengguna sendiri yang cuai menyimpan maklumat data diri sendiri.

Kata beliau, ini berlaku apabila maklumat peribadi yang sepatutnya dihapuskan namun individu tersebut hanya membuang dalam tong sampah se­hingga ia dicuri pihak lain.

“Sebab itu kita amat galakkan salinan kad pengenalan yang telah digunakan dipalang terutamanya di tengah-tengah kertas agar ia tidak dapat disa­lah guna.

“Selain itu JPDP diberikan tanggungjawab untuk menguatkuasakan serta mengawal selia data pengguna siber di negara ini bagi memastikan dilindungi serta pengguna dan penyimpan data mengendalikannya sebaik mungkin,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×