PENDUDUK Malaysia diunjurkan meningkat kepada lebih 45 juta menjelang 2050, sekali gus akan meningkatkan permintaan dan penggunaan terhadap makanan. Peningkatan populasi sesebuah negara sedikit sebanyak menimbulkan pelbagai cabaran seperti ketidakamanan makanan dan lain-lain. Hal ini secara tidak langsung menimbulkan isu sekuriti makanan yang mana dikategorikan sebagai salah satu ancaman dari perspektif keselamatan manusia di peringkat global.
Di Malaysia, pelbagai dasar dilaksanakan oleh kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi di samping menjamin ekonomi negara. Misalnya, Dasar Pertanian Negara Pertama hingga Dasar Pertanian Negara Ketiga (1984-2010), Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) dan pengeluaran padi menjadi perhatian utama.
Pertanian padi berperanan sebagai tonggak utama kepada jaminan bekalan makanan negara. Bagaimanapun, pelbagai masalah, isu dan cabaran tetap dihadapi dari tahun ke tahun oleh subsektor ini dalam mengekalkan atau menambah fungsinya. Pemahaman secara menyeluruh mengenai masalah pertanian padi negara boleh membantu kita untuk merungkai isu jaminan bekalan makanan yang hangat diperkatakan sekarang.
Antara senario masalah yang sinonim dengan subsektor padi dan beras adalah penurunan kawasan bertanam, pengurangan bilangan petani, infrastruktur serta fasiliti kurang dinamik, peningkatan kos input seperti baja dan benih, perubahan cuaca dan iklim serta kekurangan pendedahan terhadap aplikasi teknologi moden dalam pertanian. Secara dasarnya, pengukuhan keseluruhan rantaian bekalan perlu dijadikan agenda utama dalam mempertingkatkan keupayaan industri padi negara.
Agensi kerajaan dan bukan kerajaan perlu berganding bahu dalam menjayakan usaha tersebut. Misalnya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan beberapa Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) perlu terlibat dalam pemantauan kemajuan pertanian padi pengurusan infrastruktur pertanian, pengukuhan perkhidmatan sokongan dan pengurusan ladang, penyediaan perundingan melalui program dan memperkukuh agensi perkhidmatan. Jabatan Pertanian pula bertanggungjawab kepada pembangunan pertanian padi di luar kawasan jelapang.
Penglibatan aktif syarikat swasta seperti Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), FGV Holdings Berhad dan lain-lain dilihat sebagai perintis inovasi subsektor padi dan beras serta berupaya memacu aspirasi kerajaan dalam memperkasakan objektif kelestarian industri padi beras negara. BERNAS sebagai contoh, terus melaksanakan tanggungjawab dalam mengimbangi keperluan negara, pengguna dan pesawah.
Setelah mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara lebih dua dekad lalu, BERNAS kini mempunyai peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan negara. Antaranya mengurus serta menyelenggara stok simpanan beras negara agar ada dan selamat untuk sebarang keadaan serta risiko mendatang.
RMK12
Malaysia mengimport kira-kira 30 peratus dari negara luar bagi mencukupkan kadar sara diri beras. Dari sudut positif, pengimportan beras dapat menjamin kecukupan bekalan sekiranya terjadi masalah gangguan pembekalan dalam negara.
Selain itu, BERNAS, FGV dan NAFAS juga kini semakin giat mengembangkan lagi kawasan penanaman padi berskala besar, SMART SBB di seluruh negara. Program ini merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan kerajaan untuk meningkatkan hasil pendapatan pesawah di seluruh negara dengan menyelaras sistem pengurusan ladang secara berkelompok bagi mencapai skala ekonomi. Pelaksanaan SMART SBB adalah seiring dengan matlamat MAFI bagi meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Sekuriti makanan negara bukan hanya berfokuskan pengeluaran makanan utama iaitu beras sahaja tetapi juga sumber makanan lain seperti ayam, telur, daging dan sebagainya. Bagaimanapun, industri ternakan sedang menghadapi masalah kritikal ketika ini kerana harga import makanan asas ternakan semakin tinggi dan harganya menjadi mahal di pasaran.
Untuk mengatasi masalah tersebut, BERNAS bersama FGV Integrated Farming membangun dan melancarkan produk makanan ternakan berkualiti tinggi, baru-baru ini. Produk berjenama ALMA merupakan formulasi baharu makanan ayam kampung menggunakan hasil sampingan daripada pengilangan padi dan beras seperti dedak dan sekam padi yang bernutrien tinggi. Kolaborasi strategik dua syarikat swasta ini membuktikan kesungguhan mereka dalam mengoptimumkan penggunaan sumber, mengukuhkan rantaian nilai produk agromakanan untuk pasaran domestik, sekali gus mendukung teras utama kerangka sekuriti makanan negara.
Dari sudut penyelidikan dan pembangunan (R&D) pula, usaha berterusan dalam menghasilkan input pertanian seperti benih dan baja berkualiti amat diperlukan. Sehingga kini, pelbagai inisiatif dijalankan di antara MAFI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), institusi pengajian tinggi dan agensi-agensi berkaitan. Penghasilan varieti benih padi IS21 pada akhir tahun lalu mempunyai ciri-ciri agronomi yang sangat diperlukan oleh industri padi negara. IS21 dikatakan mampu membantu meningkatkan produktiviti padi dengan hasil tuai yang tinggi, mempunyai daya ketahanan terhadap penyakit karah, tahan cuaca tidak menentu seperti kemarau dan banjir dan seterusnya potensi meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi pesawah.
Kesimpulannya, sektor pertanian khususnya industri padi dan beras, memainkan peranan penting dalam mengatasi isu sekuriti makanan, khususnya di Malaysia. Pembangunan sektor ini juga amat penting bagi meningkatkan tahap sara diri dalam bekalan beras negara selain menjadi pembekal utama makanan dan juga bahan mentah untuk industri berasaskan sumber. Semestinya gabungan strategik serta pembabitan dan penyelarasan fungsi di antara kerajaan serta swasta terlibat memainkan peranan penting dalam memastikan Dasar Agromakanan Negara 2.0 tercapai.-UTUSAN
DR. NORSIDA MAN ialah Profesor Madya di Jabatan Perniagaantani & Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM).











