TAPAH: Naluri seorang anak yang berasa tidak sedap hati selepas ibunya lambat mengambilnya untuk dihantar ke sekolah rupa-rupanya membawa khabar duka apabila wanita itu maut dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi tadi di atas jambatan Sungai Batang Padang, mangsa, Shahriza Ishak, 39, maut akibat kecederaan parah di kepala selepas diseret sebuah treler sejauh 10 meter.
Menurut suami Shahriza, Abd. Aziz Ahmad, 52, kebimbangan itu disuarakan anaknya, Nur Shazwani, 17, ketika menghubunginya yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini.
Katanya, dia cuba menenteramkan anak kedua daripada empat beradik itu dengan mengatakan ibunya mungkin mempunyai urusan lain menyebabkan lambat sampai ke rumah.
“Tidak lama kemudian, Nur Shazwani hubungi saya semula beritahu yang isteri kemalangan. Ketika itu, kami masih lagi tidak tahu keadaan sebenar isteri.
“Saya segera pulang ke rumah untuk mengambil Nur Shazwani dan pergi ke lokasi nahas. Ketika sampai, saya lihat jasad isteri terbaring dengan keadaan ditutup plastik di atas jalan.
“Lemah lutut saya hingga terduduk apabila melihat keadaan isteri dengan kepala berkecai. Rasa sebak tidak boleh digambarkan dan anak pun menangis melihat ibunya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tapah di sini hari ini.
Menurut Abd. Aziz, kejadian berlaku ketika isterinya dalam perjalanan balik ke rumah untuk mengambil Nur Shazwani selepas menghantar dua anak mereka ke sekolah.
Katanya, isterinya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan namun sempat menghubunginya sebelum keluar rumah di Taman Seri Gemilang.
“Semasa tiba di lokasi, saya tahu isteri tiada harapan (hidup). Kepala pecah dan cebisannya berterabur,” katanya.
Sementara itu, Nur Shazwani berkata, ibunya ada menunjukkan perubahan apabila tidak banyak bercakap seperti biasa ketika menyiapkan mereka untuk ke sekolah.
“Selalu ibu akan bising bila kejut untuk ke sekolah tetapi pagi ini ibu lain sangat. Dia diam je, kami tidak fikir pun ini tanda dia akan meninggalkan kami.
“Masa nampak ibu terbaring, saya rasa macam nyawa saya hilang. Masa itu saya berharap mimpi dan apabila bangun ibu sebenarnya ada lagi. Apa pun, Allah sudah tulis untuk ibu pergi hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemandu treler berusia 36 tahun itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, berdasarkan ujian saringan air kencing, lelaki terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine.
“Siasatan ke atas lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala siasatan bagi kes kemalangan pula dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Shahriza yang meninggalkan tiga anak lain iaitu Nur Syazliana, 15; Nur Syazwina, 11; dan seorang anak orang kurang upaya (OKU), Mohamad syazwan, 19, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Damai. – UTUSAN










