IPOH: Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Perak menyuarakan rasa kurang senang kenyataan bekas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang ‘menyerang’ Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pada sidang akhbar semalam.
Ketua Majlis Pimpinan Pejuang Perak, Mior Nor Haidir Suhaimi menyifatkan tindakan Hamidah ketika mengumumkan keluar Putra lebih kepada serangan peribadi untuk melepaskan dendam dan nafsu amarah peribadi.
Menurut beliau, rakyat boleh menilai sendiri jasa Dr. Mahathir selaku bekas Perdana Menteri berbanding jasa Hamidah selaku bekas Exco Kanan Kerajaan Perak.
“Janganlah kerana peristiwa lalu, sepertimana yang berlaku semasa di dalam Bersatu, ia dipersalahkan pula kepada Tun Dr. Mahathir.
“Nasihat saya kepada Hamidah, sudah sudahlah menyalahkan orang lain di atas kelemahan diri sendiri. Pemimpin seharusnya berjiwa besar, mendahulukan kepentingan rakyat daripada diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, ketika mengumumkan keluar Putra, Hamidah dilaporkan berkata, ia dibuat demi prinsip dan hilang kepercayaan terhadap Presiden dan kepemimpinan Putra yang bekerjasama dengan Dr. Mahathir dalam Gabungan Tanah Air (GTA).
Mior Nor Haidir menjelaskan, pihaknya tidak berhasrat untuk mencampuri urusan dalaman parti lain khususnya masalah dalaman Putra, tetapi berpendapat dalam berorganisasi sudah pasti akan ada perasaan curiga di antara satu sama lain, namun ia telah diketepikan demi kelangsungan agama, bangsa dan tanah air.
Beliau turut menyindir Hamidah berhubung isu Tanah Rizab Melayu kerana sehingga kini rakyat Perak sudah lama tertanya-tanya sejauh mana isu mahu dibawa oleh Hamidah.
Mior Nor Haidir mempersoalkan isu yang dibawa oleh Hamidah sejak akhir 2020 itu adakah benar-benar serius untuk diselesaikan, atau hanya sekadar ‘cakap-cakap’ retorik beliau semata-mata.
“Dulu kata nak saman Kerajaan Perak, sampai sekarang pun masih tak saman-saman lagi,” katanya. – UTUSAN











