BisnesJaya tekad bantu masyarakat terkesan Covid-19

BisnesJaya tekad bantu masyarakat terkesan Covid-19

I Kasih dalam sebuah majlis meraikan anak-anak istimewa anjuran bersama C2Joy.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penularan pandemik Covid-19 sejak 2020 di seluruh dunia memberi impak besar kepada semua sektor.

Paling terkesan sudah pasti sektor ekonomi apabila banyak perniagaan terpaksa gulung tikar lantaran berdepan kerugian besar sehingga ramai hilang pekerjaan.

Malaysia turut tidak terkecuali apabila ramai usahawan terutama wanita dalam kalangan B40 dan M40 hilang sumber pendapatan.

Lebih menyedihkan pada penghujung tahun lalu, ketika ramai usahawan yang dilihat berusaha kembali bangkit akibat pandemik, sekali lagi terduduk apabila diuji dengan banjir besar.

Hakikatnya, usahawan yang terkesan ini memerlukan tenaga, semangat, sokongan dan bimbingan untuk kembali bangkit namun ramai yang dilihat tidak mengetahui saluran yang sesuai.

Menyedari perkara itu, BisnesJaya Group menubuhkan pertubuhan I Kasih untuk membantu kakitangan dan usahawan-usahawan wanita terjejas akibat Covid-19.

Usaha keras pengasas pertubuhan tersebut, Datuk Jahlilawati Abu Bakar, 55 bukan semata-mata untuk diri sendiri, sebaliknya membantu individu yang ingin berniaga dengan cara mudah menerusi pelbagai program disediakan secara percuma.

Malah Presiden BisnesJaya itu tekad melahirkan usahawan menerusi perniagaan berasaskan pemasaran rangkaian giat dikongsikan.

Katanya menerusi I-Kasih, BisnesJaya melakukan pelbagai kerja amal termasuk memberi kursus dan latihan bagi memantapkan jati diri sebagai usahawan.

“I Kasih ditubuhkan untuk untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dianggap paling penting, terutama ketika pandemik Covid-19.

“Kami segera memikirkan bagaimana boleh membantu semua pihak yang terkesan khususnya kakitangan kami sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Program I Kasih dikendalikan secara atas talian ini membuktikan bahawa krisis seperti pandemik Covid-19 bukanlah penghalang menyalurkan bantuan.

Objektif utama program adalah mengumpulkan dana untuk mengurangkan beban keluarga yang kurang mampu dan tinggal di bandar.

“Kita juga menceriakan penerima sumbangan yang merangkumi golongan fakir miskin terutamanya asnaf.

“Bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban hidup serta memberi keceriaan buat individu serta keluarga yang kurang bernasib baik sempena Ramadan,” katanya.

GALAK MENYUMBANG

Tambah Jahlilawati, NGO ini turut menggalakkan ahli menyalurkan sumbangan melalui penjualan barangan terpakai atau preloved sama ada alat kosmetik, baju, beg dan sebagainya.

Hasil jualan atau kutipan, 100 peratus didermakan kepada golongan sasaran dan tidak dilupakan kakitangan dan ahli BisnesJaya yang layak menerima bantuan.

“Kami menggalakkan ahli untuk berinfaq dengan pelbagai cara, selain mengeluarkan duit poket sendiri.

“Pada masa sama, usaha ini dapat menggalakkan ahli Bisnesjaya menyalurkan zakat fidyah,” katanya.

Selain itu, program dijalankan dalam talian dapat melatih ahli menggunakan platform digital untuk memasarkan barangan mereka selaras norma baharu.

Secara tidak langsung, langkah ini membimbing dan mempersiapkan diri mereka menjadi usahawan berdaya saing selaras misi serta visi persatuan.

LAHIRKAN JUTAWAN

Sementara itu, Timbalan Presiden Bisnesjaya, Zaimah Mohd. Noor memberitahu, melalui akademi Bisnesjaya, I Kasih bergerak membantu khususnya wanita bergelar usahawan mencapai impian dengan cepat dan mudah.

“Kursus dan bimbingan tidak hanya menumpukan individu sudah mempunyai produk sendiri tetapi mereka yang tidak biasa dengan dunia perniagaan dan ingin berkecimpung dalam bidang itu,” katanya.

Zaimah berkata, program giat dilaksanakan itu turut mengetengahkan konsep kursus tersendiri dikenali Special Coaching Datuk Jah (SCDJ) sesuai untuk usahawan tanpa mengambil kira produk dan perkhidmatan dipasarkan mereka.

Katanya ia seiring dengan objektif melahirkan usahawan yang bukan saja berdaya maju tetapi turut mempunyai daya tahan dan daya saing.

“Program dikongsi secara percuma ini berfungsi meningkatkan potensi pembangunan keusahawanan sama ada dalam kalangan mereka yang masih baru mahupun lama dalam bidang perniagaan.

“Selain aspek pengurusan, tumpuan turut diberikan kepada pengendalian perniagaan secara lebih berkesan termasuk latihan keusahawanan, pembangunan perniagaan, projek pembangunan, perancangan dan penyelidikan,” katanya.

Tegasnya, alasan menolak perniagaan kerana merasakan ia susah perlu ditangkis, sebaliknya bakal usahawan perlu positif dan sentiasa mempunyai keinginan untuk cemerlang.

SUMBANGAN BERMAKNA AHLI

Dana I Kasih dikumpul melalui sumbangan ahli dan kakitangan Bisnesjaya dari masa ke semasa.

Zaimah bersyukur apabila hasil diperoleh daripada jualan dapat diagihkan kepada asnaf di seluruh Malaysia dan ahli I Kasih yang terkesan akibat Covid-19.

“Bagi fasa pertama, I Kasih mengagihkan bantuan kepada golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal. Untuk fasa kedua, persatuan menyantuni ahli Bisnesjaya yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Jahlilawati berkata, bagi Program Kunjung Kasih bermula Ramadan lalu dengan mengagihkan bantuan fasa pertama dan aktiviti pengagihan bubur lambuk sekitar Kuala Lumpur.

“Tahun ini, kami pilih Kuala Lumpur kerana ramai yang tidak tahu kawasan ini ada banyak keluarga miskin bandar.

“Ramai tidak mempunyai pendapatan mencukupi untuk menanggung kehidupan.

“Justeru, kami menyantuni asnaf dengan menziarahi kediaman mereka dan menyampaikan sumbangan.

“Dengan ziarah dan bertanya khabar, kami berharap dapat menyuntik semangat buat penerima sumbangan menjalani kehidupan dengan lebih baik,” katanya.

Katanya, bantuan dihulurkan adalah barangan keperluan harian dan perubatan serta derma kilat untuk bantuan krisis, kematian atau tragedi seperti banjir.

“Aktiviti kebajikan ini bukan sahaja dilaksanakan pada Ramadan, tetapi diadakan berterusan sepanjang tahun bagi membantu ahli seluruh negara.

“Jika diizinkan, tahun depan kami ingin berkolaborasi dengan syarikat persendirian atau korporat yang mahu turut serta.

“Lebih ramai berkongsi rezeki, lebih banyak lagi keluarga yang dapat kita bantu. Kita juga dapat berkongsi pahala dan kegembiraan bersama,” katanya.

Bisnesjaya ketika ini sedang mengumpul nama ahli persatuan yang layak menerima bantuan fasa kedua.

“Untuk sumbangan kepada ahli kebiasaannya kami tidak akan mendedahkan nama mereka bagi menjaga sensitiviti.

“Sebelum bantuan diserahkan, kami akan memastikan seseorang ahli itu benar-benar layak.

“Kami berharap, sumbangan ini dapat membantu mereka yang menghadapi kesukaran dan meneruskan kelangsungan hidup dengan baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×