Desakan terus berlaku selagi Parlimen tidak bubar

Desakan terus berlaku selagi Parlimen tidak bubar

PEMBUBARAN Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 dikatakan menjadi langkah wajar untuk menstabilkan politik negara berikutan ketiadaan parti dominan dalam kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Desakan untuk menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri akan berterusan selagi Parlimen tidak dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum (PRU) dalam mengembalikan mandat kepada rakyat memilih kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketiadaan parti dominan dalam kerajaan hari ini adalah punca ugut-mengugut oleh Perikatan Nasional (PN) agar Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengotakan perjanjian dimeterai sebelum ini.

Justeru, kata beliau, Perdana Menteri wajar mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang berkelayakan menjadi kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sudah menjadi lumrah apabila tiada parti yang dominan dalam kerajaan, maka desakan, tekanan dan ugut-mengugut seperti ini berlaku. Justeru jika ini berlaku, maka Perdana Menteri wajar kembali kepada rakyat dan biarkan rakyat memutuskan siapa harus menjadi kerajaan melalui proses pilihan raya yang demokratik

“Proses pilihan raya adalah jalan terbaik untuk menstabilkan politik negara akibat tekanan oleh pihak tertentu. Jadi dalam situasi sebegini, mandat rakyat perlu dikembalikan segera,” katanya.

MOHAMED KHALED NORDIN

Terdahulu, PN membayangkan menarik sokongan terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika beliau gagal memberikan maklum balas terhadap perjanjian antara beliau dan parti itu termasuk membabitkan kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ismail Sabri dalam reaksinya berkata, kerajaan sentiasa bersedia dalam apa juga keadaan termasuk penarikan sokongan tersebut untuk mengadakan PRU jika situasi itu berlaku.

AHMAD MASLAN

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pula melihat kekuatan parti induk dalam sesebuah pentadbiran menjadi ‘magnet besar’ sebagai jaminan kestabilan politik di negara.

Katanya, maka sebab itu kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak pernah diganggu-gugat oleh pihak tertentu, sekali gus mampu melaksanakan dasar kerajaan dengan lebih baik.

Jelasnya, ia berbeza dengan kerajaan hari ini yang sentiasa ‘diugut’ beberapa parti politik berikutan kebergantungan sesama sendiri untuk mencapai kestabilan politik di Malaysia.

“Itu adalah cabaran politik yang perlu dihadapi oleh kerajaan yang tidak stabil. Maka itu juga bukti bagaimana pilihan raya perlu diadakan segera supaya politik negara ini stabil.

“Cuba kita lihat, dulu mana ada kisah tarik-tarik sokongan ini? Tidak ada. Dan ini bukan kerajaan UMNO, tetapi kerajaan campuran yang tiada magnet besar. Sukar,” katanya.

Sebelum ini, media mendedahkan Ismail Sabri menandatangani perjanjian dengan PN sebelum beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada Ogos 2021 dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri dijanjikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×