KERUSI Parlimen Hang Tuah Jaya atau dahulunya dikenali Parlimen Bukit Katil dirampas PKR daripada Barisan Nasional (BN) menerusi gabungan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dengan majoriti 5,733 undi.
Ketika itu, tiada siapa menyangka bahawa Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin mampu menewaskan figura politik hebat Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dalam pertembungan satu lawan satu.

Momentum kemenangan dikekalkan pada PRU14 oleh Pakatan Harapan (PH) apabila Shamsul Iskandar mempertahan kerusi berkenaan dengan majoriti lebih besar 8,640 undi, sekali lagi menewaskan Mohd. Ali dan calon Pas, Dr. Khalid Kassim.
Pasca PRU14, PH menguasai tiga daripada empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen tersebut iaitu Pengkalan Batu menerusi Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP); Bukit Katil, Adly Zahari (Amanah) dan Ayer Keroh, Kerk Chee Yee (DAP).

Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PH kehilangan Pengkalan Batu selepas dirampas BN dengan majoriti tipis 131 undi, namun mengekalkan Bukit Katil dan Ayer Keroh menerusi Adly dan Chee Yee.
DUN Ayer Molek yang dipertanggungjawabkan kepada PKR gagal ditembusi PH berikutan Ketua PKR Cabang Hang Tuah Jaya, Mohd. Rafee Ibrahim tewas kepada penyandang kerusi, Datuk Rahmad Mariman (BN) dengan majoriti 2,802 undi.
Jika diamati komposisi terkini dalam Parlimen tersebut, DAP dan Amanah dilihat lebih berhak menuntut Parlimen berkenaan pada PRU15 memandangkan PKR selaku penyandang tidak menguasai sebarang DUN di kerusi itu.
Sumber dalaman parti memaklumkan, ura-ura mendakwa DAP dan Amanah mula mengintai Hang Tuah Jaya sudah kedengaran, bagaimanapun PKR dikatakan akan mempertahan haknya di Parlimen itu kerana ia adalah kerusi penting parti tersebut di Melaka.
Kata sumber, survival politik PKR di kerusi bandar seperti Hang Tuah Jaya perlu dikekalkan, tidak kira apa juga fakta bakal dikemukakan komponen PH yang lain untuk menuntut Parlimen itu.
Secara keseluruhan, PKR menguasai dua kerusi Parlimen di Melaka iaitu Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu, diikuti DAP dengan satu kerusi (Kota Melaka), BN satu kerusi (Jasin) dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi (Alor Gajah dan Masjid Tanah). – UTUSAN











