RUU Anti Lompat Parti: UMNO mungkin pinda Perlembagaan - Utusan Malaysia

RUU Anti Lompat Parti: UMNO mungkin pinda Perlembagaan

AHMAD Maslan menunjukkan kenyataan akhbar selepas menghadiri mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO mungkin perlu sekali lagi meminda Perlembagaan untuk melucut keahlian wakil rakyatnya yang tidak mengikut keputusan parti selaras penggubalan undang-undang Anti Lompat Parti.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, namun pihaknya perlu berbincang dengan penasihat undang-undang UMNO berhubung perkara berkenaan sebelum melakukan pindaan Perlembagaan parti.

“Selaras pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, UMNO, kemungkinan melakukan pindaan Perlembagaan parti sekali lagi.

“Tetapi kita ingin dapatkan nasihat penasihat undang-undang UMNO berhubung perkara ini terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn di sini hari ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan Dewan Rakyat pada minggu lalu menetapkan kekosongan kerusi Parlimen jika ahli Parlimen bertindak menyertai parti lain.

Namun undang-undang itu turut memberi laluan kepada parti untuk memecat wakil rakyat yang ingkar arahan dan kekosongan kerusi berlaku dengan serta-merta.

Sebaliknya setiap parti politik perlu meminda Perlembagaan masing-masing untuk memasukkan terma peraturan berkenaan.

Semalam, DAP mencadangkan pindaan Perlembagaan parti yang boleh melucutkan keahlian Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak ikut keputusan parti menerusi satu Kongres Khas pada 25 September ini.

Sementara itu Ahmad memaklumkan, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak disentuh dalam mesyuarat MT hari ini, sebaliknya hanya membuat ketetapan tarikh persidangan cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO.

Katanya, tarikh Perhimpunan Agung UMNO ditetapkan pada 23 hingga 26 November ini manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula pada 14, 15 dan 16 Oktober.

“Tidak ada pemilihan jawatan dalam persidangan Cawangan, Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Perhimpunan Agung atau dalam erti kata lain tiada pemilihan jawatan di semua peringkat pada kali ini,” katanya.

Mengulas keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Ahmad berkata, MT memperakukan kelulusan jabatan itu dengan sedikit pindaan terhadap Perlembagaan UMNO yang berkuat kuasa mulai 29 Julai lalu.

“Ini bermakna pemilihan parti perlu diadakan dalam tempoh tidak kurang enam bulan selepas PRU,” katanya.

Menurut Ahmad, mesyuarat MT turut menggesa agar jentera parti di semua peringkat menumpukan kepada kesiapsiagaan bagi menghadapi PRU15 apapun tarikhnya yang akan ditentukan kelak.

Selain itu kata Ahmad, negeri-negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) hendaklah melakukan langkah untuk meminda undang-undang tubuh atau enakmen negeri masing-masing setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan larangan lompat parti selesai digazetkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×