HONG KONG: Saham Alibaba Group Holding Ltd. melonjak semalam, mendahului saham-saham teknologi China apabila pelabur kembali menjelang keputusan suku tahunannya, namun tetap berhati-hati mengenai sebarang kemungkinan di hadapan.
Saham syarikat gergasi e-dagang itu melonjak sebanyak 6.5 peratus, antara prestasi terbaik di Hang Seng Tech Index, yang meningkat sebanyak 3.4 peratus, lapor Bloomberg.
Saham Alibaba meningkat untuk hari kedua selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan menyebabkan pasaran yang lebih luas jatuh minggu ini.
Pemulihan saham-saham teknologi berlaku apabila pelabur mula kembali selepas meletakkan harga dalam risiko terlalu tinggi sebelum ini, menurut Vey-Sern Ling, Pengarah Urusan di Union Bancaire Privee, Singapura.
“Rali yang berlaku semalaman dalam pasaran ADR China, juga memberikan rangsangan,” tambahnya.
Pelabur dijangka kurang memberi tumpuan kepada Alibaba, terutama selepas penutupan ketat Covid-19 di China pada suku kedua, yang menjejaskan pertumbuhan.
Kebimbangan tentang ekonomi yang perlahan, tindakan keras kawal selia berterusan, dan ketegangan China-Amerika yang meningkat juga merumitkan pandangan itu.
Walaupun dengan lantunan selama dua hari, saham Alibaba masih susut sebanyak lebih 20 peratus tahun ini di Hang Sen Tech Index.
SoftBank Group Corp telah mengumpul tunai sebanyak AS$22 bilion (RM98 bilion) melalui penjualan kontrak hadapan menggunakan saham Alibaba, menurut laporan Financial Times dan menambah, tekanan jualan berlaku jika SoftBank memilih untuk tidak membeli balik saham syarikat itu.
Pelabur cuba meramalkan sejauh mana perniagaan Alibaba boleh pulih pada suku akan datang selepas China mula melonggarkan peraturan kuarantin dan berikrar untuk menyokong ekonomi.
Ketegangan geopolitik dan kebimbangan kemelesetan global telah menghalang peningkatan baru-baru ini dalam unjuran keuntungan penganalisis, memberi gambaran pendapatan 12 bulan hadapan syarikat itu kembali ke tahap 2019. – AGENSI










