Dolar terus mengukuh, AS mungkin naikkan lagi kadar faedah

Dolar terus mengukuh, AS mungkin naikkan lagi kadar faedah

DOLAR Amerika Syarikat (AS) dijangka kekal stabil. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Dolar terus mengukuh dibantu oleh kenyataan beberapa pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat yang menolak cadangan supaya mereka memperlahankan kenaikan kadar faedah.

Sementara itu, pound tidak berubah pada AS$1.2158 (berbanding dolar AS) menjelang mesyuarat Bank of England (BOE).

Penganalisis menjangkakan BOE akan menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas kepada 1.75 peratus, paras tertinggi sejak 2008.

Dalam pada itu, Indeks dolar yang mengukur kedudukan mata wang AS itu berbanding enam mata wang utama lain, stabil pada dagangan awal semalam pada 106.39 setelah memperoleh keuntungan kecil sebelumnya. Ia meningkat sekitar 0.5 peratus minggu ini.

Pakar strategi mata wang di Bank Singapura, Sim Moh Siong berkata, dolar melemah minggu lepas selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (penetapan dasar) (FOMC) kerana sebelum ini pasaran percaya Fed akan menukar keputusannya, mengenai kenaikan kadar faedah, disebabkan pertumbuhan yang perlahan.

“Minggu ini, terdapat lebih ramai penceramah FOMC menolak idea ini, semuanya menyuarakan nada yang sama: “Kami belum selesai, dan anda harus menjangkakan lebih banyak kenaikan kadar,” katanya kepada Reuters.

Presiden Fed untuk San Francisco, Mary Daly dan Presiden Fed untuk Minneapolis, Neel Kashkari menyuarakan keazaman mereka untuk mengekang inflasi yang tinggi dan mengulangi mesej sama daripada pegawai lain sehari sebelum mesyuarat.

Tinjauan Reuters awal minggu ini mendapati, 70 peratus penganalisis berpendapat, dolar masih belum mencapai puncak dalam kitaran tersebut, walaupun selepas indeks dolar mencapai tahap tertinggi dalam tempoh dua dekad Julai lalu.

Menurut FedWatch CME, pasaran menetapkan kemungkinan 58 peratus untuk kenaikan kadar 50 mata asas pada mesyuarat Fed September ini, dan 42 peratus untuk peningkatan lebih besar iaitu 75 mata asas.

Moh Siong bagaimanapun berkata, prestasi dolar baru-baru ini adalah gambaran bercampur-campur kerana sentimen risiko yang bertambah baik, yang turut membantu harga ekuiti di AS dalam menyokong mata wang menjadi lebih mesra risiko.

Dalam pada itu, dolar Australia berada pada $0.695 (berbanding dolar AS) selepas menokok 0.46 peratus sehari sebelumnya dan cuba kembali ke paras simbolik $0.7 sebelum kejatuhan.

Mata wang euro pula tidak berubah pada AS$1.01635 berbanding dolar, manakala yen meningkat sedikit kepada 133.54 selepas mengalami kejatuhan sehari sebelum itu. Mata wang kripto, Bitcoin turut menokok kepada AS$23,000 (RM102,453.50) seunit. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×