SHAH ALAM: Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor yang baru dilantik, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berikrar berkhidmat sehabis baik bagi memastikan gabungan parti itu menawan semula negeri ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pelantikan tersebut adalah satu mandat besar, justeru akan memikirkan pelan tertentu bagi menjayakan hasrat besar BN negeri ini.
“Terima kasih BN Pusat dan Selangor atas pelantikan jawatan ini. Saya akan bekerjasama dengan pucuk pimpinan BN Selangor (bagi membincangkan pelbagai pelan) dan dari segi strategi (tawan Selangor), Tan Sri Noh (akan rancang dan susun),” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Penutup Konvensyen BN Selangor, malam tadi.
Terdahulu, Pengerusi Penyelaras Jawatankuasa BN Selangor, Tan Sri Noh Omar dalam ucapan amanatnya mengumumkan pelantikan Tengku Zafrul ke jawatan tersebut bagi menggantikan Datuk Seri Jamal Md. Yunos yang dilantik sebagai Ketua Komunikasi.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul memaklumkan beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan kepemimpinan BN Pusat dan negeri sama ada melantiknya menjadi calon yang akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Jadi calon atau tidak, yang penting kita (BN Selangor) bersama, Insya-Allah dapat menang kembali Selangor,” ujarnya. – UTUSAN











