CALIFORNIA: Apple mencatatkan pendapatan sebanyak AS$83 bilion (RM369 bilion) bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 25 Jun 2022, naik dua peratus tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Telefon pintarnya, iPhone kekal menjadi penyumbang utama kepada syarikat tersebut diikuti Mac, iPad dan peranti, produk rumah serta perkhidmatan yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook berkata, prestasi suku tersebut membuktikan usaha berterusan Apple untuk berinovasi, memajukan kemungkinan baharu dan memperkayakan kehidupan pelanggannya.
“Seperti biasa, kami menerajui dengan nilai kami yang ditunjukan dalam semua yang Apple bangunkan daripada ciri baharu yang direka bentuk untuk melindungi privasi dan keselamatan pengguna, kepada alat yang akan meningkatkan kebolehcapaian.
“Ia sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk mencipta produk untuk semua orang,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman web Apple.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Apple, Luca Maestri berkata, keputusan kewangan suku tersebut terus menunjukkan keupayaan Apple dalam mengurus perniagaan dengan berkesan walaupun dalam persekitaran operasi yang mencabar.
“Sepanjang suku tersebut, kami menjana hampir AS$23 bilion (RM102 bilion) dalam aliran tunai operasi, mengembalikan pulangan lebih AS$28 bilion (RM124 bilion) kepada pemegang saham dan terus melabur dalam rancangan pertumbuhan jangka panjang,” ujarnya.
Lembaga pengarah Apple telah mengisytiharkan dividen tunai sebanyak AS$0.23 (RM1.02) sesaham bagi saham biasa syarikat.
Dividen itu akan dibayar pada 11 Ogos 2022 kepada pemegang saham setakat penutupan perniagaan pada 8 Ogos ini. – AGENSI










