Vera Wang ‘kalis’ tua? - Utusan Malaysia

Vera Wang ‘kalis’ tua?

Kulit Wang bagai wanita muda sedangkan angka usianya sudah menjangkau 73 tahun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAMA Vera Wang tidak asing lagi dalam industri fesyen, terutamanya baju pengantin dan setiap rekaannya pasti menampilkan keistimewaan tersendiri, maka tidak hairanlah jika dia sering menjadi pilihan selebriti dan bangsawan bagi meraikan hari bahagia mereka.

Selepas bekerja sebagai pengarang majalah Vogue dan pereka aksesori di Ralph Lauren, Wang mengumpul keyakinan dan keberanian untuk membuka kedai baju pengantin ketika dia berusia 40 tahun.

Beberapa tahun selepas itu, pengorbanan dan penat lelah yang dicurahnya berbaloi apabila jenama Vera Wang dikenali di seluruh dunia, bahkan bukan setakat baju pengantin, pereka fesyen itu turut melebarkan sayap perniagaannya dalam bidang kecantikan, aksesori wanita dan produk keperluan rumah.

Wang menyatakan, bapanya merupakan inspirasi buatnya untuk membuka kedai baju pengantin dengan alasan ‘orang sentiasa berkahwin dan pasti akan cari baju pengantin’, selain ketika itu, perniagaan tersebut merupakan antara sektor yang mempunyai risiko paling rendah.

“Saya percaya, sesiapa pun, pada mulanya pasti berasa bimbang dan memikirkan pelbagai perkara apabila ingin membuka perniagaan.

“Namun kita tidak akan tahu kemampuan kita sekiranya tidak mengambil risiko.

“Dalam hal ini, bapa merupakan inspirasi saya. Dia bukan ahli perniagaan, tetapi dia membuatkan saya berfikir seperti ahli perniagaan yang mempunyai visi dan misi,” katanya.

PEGANG PRINSIP CINA

Ibu bapa Wang berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik dan ketika di sana, Wang dilahirkan, sekali gus melayakkan dia menjadi sebahagian daripada rakyat negara Uncle Sam.

Biarpun membesar dengan dikelilingi bangsa, budaya dan agama yang berbeza, itu tidak menghalang Wang melupakan prinsip yang dipegang oleh masyarakat Cina.

Prinsipnya mudah, iaitu, jika mahu melakukan apa-apa perkara, perlu lakukannya sehingga selesai dan nikmati hasilnya.

“Selepas saya menamatkan pengajian di kolej, bapa saya enggan menanggung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dia kata, jika saya benar-benar sukakan bidang fesyen, saya perlu buktikan kepadanya dengan dapatkan kerja.

“Seperti kebanyakan anak masyarakat Cina yang lain, saya buktikan kepada bapa mengenai minat saya,” ujar Wang.

Siapa sangka, usaha dan minat Wang berbaloi apabila dia diterima bekerja di majalah Vogue yang merupakan kerjaya pertamanya sebagai pereka fesyen.

KALIS TUA?

Dilahirkan di New York pada 27 Jun 1949, Wang kini berusia 73 tahun.

Namun, penampilannya yang kelihatan muda menyebabkan wanita itu disifatkan ‘kebal tua’ oleh kebanyakan pihak.

Secara tipikal, wanita seusianya pasti dipenuhi kedutan pada wajah dan badan, namun apabila melihat Wang, dia seolah-olah baru berumur 40-an.

Menerusi gambar yang dikongsi dalam media sosial, Wang menunjukkan ‘keremajannya’ yang jelas mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

Rata-rata pengguna media sosial mempersoalkan, bolehkan wanita dengan usia begitu kelihatan sungguh muda dan ramai yang bertanyakan apa rahsianya untuk kekal muda.

Tidak melatah dengan sindiran dan pujian yang diberikan, Wang dengan tenang menyatakan, tiada apa-apa rahsia untuk dia kekal tua kerana baginya, proses itu adalah lumrah untuk setiap manusia, sama ada cepat atau lambat ia berlaku.

“Ramai yang bertanya, apakah rahsia untuk kelihatan seperti 40an tatkala usia menginjak 70an.

“Apa yang boleh saya simpulkan, tidur merupakan elemen paling penting dalam rutian kecantikan saya.

“Tidur mencukupi merupakan kunci untuk badan kekal sihat dan bila sihat, semuanya akan kelihatan bagus,” ujarnya.

Wang turut memberitahu, pemakanan memainkan peranan penting dalam kehidupannya.

Antara dilakukan pereka fesyen itu termasuk tidak mengambil gula dan makanan berminyak.

SENTUHAN MASIH BERBISA

Sementara itu, biarpun sudah berpuluh tahun melibatkan diri dalam bidang fesyen, idea dan sentuhan Wang terhadap baju rekaannya masih berbisa serta menjadi pilihan golongan selebriti.

Pada Wang, untuk menjadi pereka fesyen yang disegani, tampilkan rekaan yang anda senangi dan bukannya terlalu mengikut gaya yang dipersembahkan pihak lain.

“Ekspresikan idea dan identiti anda menerusi rekaan yang dihasilkan. Dari situ, orang akan kenali siapa anda.

“Tidak perlu ikut gaya orang lain, kerana anda tahu apa yang anda perlukan,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×