Malaysia mencatatkan peningkatan kes Hepatitis C dengan kadar notifikasi kes baharu dan kematian daripada 6.9 dan 0.19 bagi setiap 100,000 penduduk pada tahun 2015 kepada 8.59 dan 0.27 pada tahun 2021.
Peningkatan itu adalah susulan kesedaran orang ramai untuk menjalani ujian saringan terutamanya dalam kalangan individu berisiko.
Ia turut berlaku berikutan pelaksanaan saringan bersasar di fasiliti kesihatan, institusi penjara dan Agensi Antidadah Kebangsaan serta kempen-kempen kesihatan yang dijalankan.
Kebolehcapaian ubat DAA (direct-acting antiviral) yang mempunyai keberkesanan yang tinggi dan pada harga berpatutan juga telah meningkatkan kadar saringan dan rawatan Hepatitis C.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin, dalam satu kenyataan bersempena Hari Hepatitis Sedunia baru-baru ini menjelaskan Malaysia akan terus memantapkan program saringan dan rawatan Hepatitis C di seluruh negara dengan mempertingkatkan penggunaan kit pengesanan pantas yang lebih mudah, murah, cepat dan boleh diperolehi di fasiliti-fasiliti kesihatan.
Akses kepada rawatan penyakit berkenaan juga akan diperluaskan iaitu bukan hanya diberikan di hospital tetapi di klinik kesihatan sedia ada.
Kini terdapat lebih 300 fasiliti kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan dan rawatan Hepatitis C sejak tahun 2017 dan dijangka akan diperluaskan lagi dengan melibatkan lebih banyak klinik kesihatan yang mempunyai pakar perubatan keluarga.
Pada Jun 2021, Malaysia meluluskan penggunaan produk Tablet 200mg ubat Ravidasvir Hydrochloride 200mg (Ravida), yang digunakan secara kombinasi dengan ubat lain untuk merawat jangkitan virus Hepatitis C kronik (HCV) dalam kalangan orang dewasa.
Sejak 2017, dianggarkan lebih 13,000 orang pesakit menerima rawatan DAA malah sedang menjalankan kajian untuk meninjau keberkesanan rawatan DAA dalam tempoh yang lebih pendek iaitu lapan minggu berbanding 12 minggu.
Orang ramai disaran terus mengamalkan gaya hidup sihat dan menjaga kebersihan diri bagi mengurangkan risiko manakala ibu bapa digalakkan untuk memastikan bayi diberikan imunisasi Hepatitis B yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.
Sekiranya terdapat anak yang tercicir imunisasi, ibubapa perlu mendapatkan nasihat di klinik kesihatan berhampiran untuk penjadualan semula imunisasi.









