PETALING JAYA: Malaysia menyertai 41 negara dan bidang kuasa anggota di rantau Asia/Pasifik dalam memperkukuh komitmen untuk melaksanakan standard antarabangsa terhadap jenayah kewangan serius yang memberikan kesan kepada sistem kewangan global.
Sebanyak lebih 370 wakil antarabangsa dari rantau Asia Pasifik dan seluruh dunia telah berhimpun di Kuala Lumpur dari 24 hingga 28 Julai 2022 bagi menghadiri mesyuarat tahunan Asia/Pacific Group on Money Laundering (APG) secara hibrid.
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), APG tersebut telah mencapai beberapa hasil penting termasuk penerapan laporan susulan penilaian bersama dan laporan tipologi, keputusan tadbir urus dan organisasi yang penting berhubung dengan masa hadapan APG.
“Ia juga akan mengkaji semula semula haluan strategik Financial Action Task Force (FATF) bagi pusingan penilaian peringkat negara yang seterusnya serta kesannya terhadap urusan APG dan mesyuarat yang telah diadakan antara penyedia bantuan teknikal dengan banyak anggota APG untuk menambah baik sistem perundangan dan sistem pengawalseliaan kewangan berhubung dengan pencegahan pengubahan wang haram.
“Hasil yang dicapai pada minggu ini telah meletakkan APG serta negara dan bidang kuasa anggotanya pada kedudukan yang lebih baik untuk menentang jenayah kewangan serta menewaskan usaha penjenayah dan pengganas untuk menjatuhkan integriti sistem kewangan antarabangsa.
“APG juga mengalu-alukan Kanada yang mengambil alih kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi Bersama APG (secara giliran) yang baharu,” katanya dalam kenyataan.
BNM berkata, Malaysia berbesar hati kerana telah mempengerusikan APG selama dua tahun dan khususnya pada sambutan ulang tahunnya yang ke-25.
Ujarnya, Mesyuarat Tahunan APG minggu ini menandakan tamatnya tempoh Malaysia menggalas peranan selaku Pengerusi Bersama APG.
Jelasnya, sepanjang tempoh mempengerusikan APG secara bersama, Malaysia memuktamadkan keutamaan untuk menyokong usaha pembinaan keupayaan dalam bidang analisis data, kerjasama awam-swasta dan penyeliaan Perniagaan dan Profesion Bukan Kewangan yang Ditentukan.
Mesyuarat terbabit dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Gabenor BNM, Marzunisham Omar dan Timbalan Pesuruhjaya, Ian McCartney daripada Polis Persekutuan Australia.
Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Presiden FATF, Raja Kumar daripada Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura.
APG merupakan organisasi antara kerajaan terdiri daripada 41 negara dan bidang kuasa anggota di rantau Asia/Pasifik dan telah ditubuhkan pada 1997 di Bangkok, Thailand. – UTUSAN










