HONG KONG: Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong (HKMA) pada Khamis telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 75 mata asas kepada 2.75 peratus beberapa jam selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memaklumkan kenaikan kadar pada margin yang sama.
Dasar monetari Hong Kong bergerak seiring dengan AS, kerana mata wang itu ditambat kepada dolar AS dalam julat yang kecil antara 7.75 hingga 7.85 setiap dolar.
Ketua Eksekutif HKMA, Eddie Yue berkata, pihaknya menjangkakan OPR dan kadar antara bank sebulan (HIBOR) serta kadar jangka pendek akan meningkat lebih cepat.
“Dengan dana mengalir keluar daripada sistem dolar Hong Kong, mekanisme pelarasan automatic kadar faedah akan bermula, memacu kadar antara bank dolar Hong Kong untuk meningkat secara beransur-ansur dan menjejaki kadar dolar AS.
“Itu akan membantu mengimbangi insentif untuk dagangan bawa, dan mestabilkan dolar Hong Kong dalam julat 7.75 hingga 7.85,” katanya.
Kenaikan terbaharu itu berlaku apabila Setiausaha Kewangan, Paul Chan memberitahu South China Morning Post minggu ini, bahawa pasaran hartanah Hong Kong telah mereda dalam beberapa bilan kebelakangan ini di tengah-tengah prospek kadar faedah yang lebih tinggi.
Harga rumah persendirian di Hong Kong jatuh pada kadar yang lebih pantas pada Jun, dan jatuh ke paras terendah sejak Disember 2020, menurut data rasmi, apabila pembeli rumah tinggal di luar kerana prospek yang tidak menentu.
HIBOR sebulan, kadar tawaran antara bank Hong Kong yang digunakan sebagai penanda aras untuk penetapan harga gadai janji, pada minggu lalu meningkat ke tahap tertinggi sejak Mei 2020.
Fed telah menaikkan penanda aras OPR sebanyak tiga perempat daripada mata peratusan. Pergerakan itu berlaku atas kenaikan 75 mata asas bulan lalu, dan pergerakan yang lebih kecil pada Mei dan Mac, ketika Fed meningkatkan usaha untuk meredakan inflasi.
Pengerusi Fed, Jerome Powell memberitahu sidang akhbar berikutan pengumuman kadar, bahawa pihaknya tidak percaya ekonomi AS kini berada dalam kemelesetan tetapi ia semakin lemah. – AGENSI










