Tasik Chini: Tarik diri dari UNESCO? - Utusan Malaysia

Tasik Chini: Tarik diri dari UNESCO?

KEADAAN Tasik Chini yang ditumbuhi pokok rasau dan memerlukan pemulihan bersepadu bagi membolehkan status Rezab Biosfera UNESCO yang diterima pada 2009 tidak ditarik balik. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Selepas semakan berkala pertama Tasik Chini sebagai Rezab Biosfera (BR) ditolak Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), timbul cadangan supaya tasik berkenaan menarik diri daripada status tersebut.

Difahamkan, UNESCO memberikan tempoh sehingga 30 September ini untuk Malaysia menye­rahkan pelan membaik pulih dan menambah baik Tasik Chini yang diisytiharkan BR pada 2009.

Utusan Malaysia difahamkan, ketika ini semakan berkala kedua sedang dilakukan supaya ia dite­rima UNESCO bagi membolehkan status BR Tasik Chini kekal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, usaha mengekalkan status BR Tasik Chini perlu serius dan melihat pelbagai pihak khususnya pihak berkepentingan dalam negara dan negeri ini.

Ini kerana kata sumber itu, selepas semakan berkala pertama ditolak UNESCO, dipersoalkan mengapa baru hendak dibuat Rancangan Kawasan Khas (RKK), organisasi peng­urusan Tasik Chini Rezab Biosfera (TCBR) dan mencari dana.

“Kenapa jadi begitu? lihat Bhutan yang miskin, Thailand yang begitu agresif pelancongan, tidakkah kita mahu belajar? Tasik Chini jika dipromosikan boleh menjana keuntungan lumayan.

“Mewujudkan antaranya Taman Negeri Tasik Chini, perbada­nan biodiversiti negeri adakah semuanya sudah terjadi? Adakah ia ditubuhkan untuk audit UNESCO sahaja?

“Jika begitulah, kenapa Tasik Chini tidak tarik diri sahaja daripada BR UNESCO? Itu lebih senang dan tidak membebankan mana-mana pihak,” kata sumber.

Kriteria

Menerusi semakan berkala pertama UNESCO, Tasik Chini tidak lagi memenuhi kriteria menjadi sebahagian Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

Laporan itu menyebut “kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif”, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di sekitarnya.

Setahun selepas rizab biosfera ditetapkan, beberapa bekas tapak perlombongan yang terletak di titik kecerunan tinggi (Bukit Ketaya dan Bukit Chini) dibuka semula dan berkembang mengakibatkan kesan buruk alam sekitar seperti pemendapan, kemerosotan kualiti air dan kemerosotan tebing sungai.

Selain itu punca utama kerosakan alam sekitar ialah penukaran guna tanah daripada ladang getah dan kawasan hutan kepada ladang kelapa sawit. Sebahagian pengembangan ini berlaku dalam kawasan teras utama.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO di bawah program manusia dan biosfera (MAB) September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.
Tasik Chini menjadi tapak pertama Malaysia yang diberikan pengiktirafan berprestij tersebut, selain Banjaran Crocker di Sabah pada 2014.

BR adalah kawasan yang dikenal pasti oleh UNESCO untuk membantu mempromosikan pemuliharaan dan penggunaan lestari.

Sumber sama turut mempersoalkan adakah 12 sungai yang mengalir ke Tasik Chini telah dipulihkan?
Antaranya, Sungai Jemberau, Sungai Gumum, Sungai Kura-Kura, Sungai Melai, Sungai Jerangking, Sungai Paya Merapuh, Sungai Rahang Buaya, Sungai Ulu Melai dan juga Sungai Chini.

“Lihat pada ulu sungai-sungai ini, adakah kawasan riparian atau atau zon penampan telah dipulihkan? Sungai-sungai terbabit sangat penting, tiada sungai maka tiadalah tasik,” jelas sumber berkenaan.

Kata sumber itu, Tasik Chini sebenarnya boleh dipulihkan dengan syarat ia mempunyai perancangan dan rangka tindakan yang kukuh beserta kehendak politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×