Krisis antara ahli keluarga dalam menuntut harta pusaka pada masa kini seringkali dikaitkan dengan ketidakjelasan tentang waris yang menerima sesuatu peninggalan harta si mati.
Kefahaman yang jitu tentang waris si mati adalah sangat penting kerana mereka merupakan salah satu rukun yang perlu ada dalam setiap kes faraid. Waris faraid ialah individu yang masih hidup dan bakal mewarisi harta.
Mereka mempunyai salah satu sebab ikatan atau hubungannya dengan si mati. Sebab utama yang masih wujud dan mengikat antara waris dan si mati ialah atas hubungan kerabat dan hubungan perkahwinan.
Ini diperakui menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Dan (Allah SWT) mewajibkan pewarisan sebagai satu hak kepada ahli waris selepas (kematian) kamu. (Abū Dāwūd. Al-Sunan. Kitab al-Zakāt (9). Bab: fī huqūq al-māl (32) no. 1664)
Biasanya kita selalu mengatakan anak-anak si mati sama ada lelaki atau perempuan adalah sama sahaja kerana mereka adalah zuriat kepada si mati.
Namun dalam perbahasan faraid, anak lelaki dan anak perempuan mempunyai status atau kategori waris yang berbeza. Anak perempuan merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) dan boleh bertukar status sebagai waris ‘asabah (waris yang dapat lebihan pusaka). Sedangkan anak lelaki si mati hanya berstatus waris ‘asabah semata-mata dan tidak mungkin memperolehi faraid mengikut kadar-kadar yang tertentu.
Dalam situasi yang lain, teori keutamaan dalam hierarki keluarga yang mendapat harta pusaka juga berbeza. Contohnya, si mati meninggalkan anak lelaki dan adik-beradik lelaki sahaja dalam senarai waris.
Dalam faraid, hanya anak lelaki si mati yang berhak mendapat harta tersebut. Adapun adik-beradik lelaki si mati terdinding atau terhalang daripada mendapat harta. Keutamaan susur galur keturunan lebih kuat berbanding susur galur persaudaraan antara adik-beradik. Ini bermakna tidak semua waris yang layak berhak mendapat harta pusaka dalam sesuatu kes faraid.
Dari sudut amalan pula, waris adalah mereka yang bertanggungjawab mengurus pusaka dan setiap warisan yang ditinggalkannya. Dalam bahasa mudah, selagi tiada permohonan atau tuntutan dibuat oleh waris ke atas harta si mati, maka semua harta tersebut masih kekal menjadi hak milik si mati.
Justeru, waris berperanan mengetahui bentuk pembahagian dan pengagihan harta warisan yang ditinggalkan oleh pewaris kepada setiap ahli waris dan seharusnya bertanggungjawab mengurus keluarga pewaris yang masih hidup.
Apabila berlaku kematian orang Islam, maka wajiblah ke atas waris menerima hak-hak pewarisan yang memungkinkannya untuk menyempurnakan amanah dan kewajipan yang ditinggalkan. Dengan adanya penerimaan hak-hak tersebut, terbentuklah pula kewajipan-kewajipan dan amanah yang mesti dipikul oleh setiap ahli waris.
KENALI WARIS GEMULAH
Gemulah ialah istilah yang sinonim dengan orang yang meninggal dunia atau si mati. Apabila seseorang meninggal dunia, waris bertindak sebagai pengganti kepada harta si mati melalui satu sistem faraid yang ditetapkan dalam Islam.
Sandaran utama berkaitan agihan harta pusaka kepada setiap waris disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: Berilah kadar yang ditetapkan kepada waris yang berhak. Jika berbaki maka agihkan kepada waris lelaki yang utama. (Al-Bukhari. Al-Jamic al-Musnad al-Sahih. Kitab al-Fara’id (85). Bab: mirath al-walad min abīhi (5). No: 6732).
Ulama berijtihad berdasarkan hadis tersebut tentang mereka yang berhak menerima pusaka mengikut susunan keutamaan. Pembahagian waris dapat dibahagi kepada tiga kategori, iaitu:
Waris ashab al-furud; ahli-ahli waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.
Waris ‘asabah; ahli-ahli waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka dalam harta pusaka sama ada dalam al-Quran atau al-Sunnah. Kadangkala mereka menerima semua harta pusaka, kadangkala baki dan kadangkala tidak memperoleh harta kerana harta pusaka telah dihabiskan oleh ahli waris ashab al-furud.
Waris dhawi al-arham; ahli waris yang mempunyai hubungan kerabat atau darah dengan si mati selain daripada ahli waris ashab al-furud dan ‘asabah.
Dua kategori waris yang pertama iaitu waris ashab al-furud dan ‘asabah adalah yang disepakati mendapat faraid jika berlaku kematian dalam sesebuah keluarga.
Adapun kategori ketiga iaitu waris dhawi al-arham adalah golongan yang diperselisihkan antara mazhab fiqh. Amalan di Malaysia ketika ini berpihak kepada pendapat waris dhawi al-arham tidak dapat apa-apa daripada harta pusaka walaupun mereka sangat hampir dengan si mati. Sebaliknya harta tersebut perlu diserah kepada Baitulmal.
Secara asasnya, waris yang disepakati layak sebagai penerima harta pusaka iaitu mereka yang dalam kategori waris ashab al-furud dan ‘asabah ialah seramai 22 orang seperti dalam jadual (1).
Mereka terdiri daripada 14 waris lelaki dan lapan waris perempuan.

Setiap mereka mempunyai bahagian dan situasi yang tertentu dalam memperolehi habuan masing-masing. Peraturan dalam perundangan faraid ini menunjukkan tidak semestinya waris yang layak akan berhak mendapat harta pusaka.
Ada daripada mereka lebih utama berbanding yang lain. Biasanya mereka yang bersambung dengan dengan si mati dengan susur galur yang paling hampir akan dijamin untuk mendapat faraid.
Perlu diperhatikan daripada senarai waris sebelum ini, jika kesemua waris lelaki di atas wujud, maka hanya tiga yang layak iaitu bapa, anak lelaki dan suami.
Jika semua ahli waris perempuan di atas wujud, lima sahaja yang layak iaitu anak perempuan, anak perempuan daripada anak lelaki (cucu), ibu, saudara perempuan seibu sebapa dan isteri.
Adapun jika semua 22 waris masih hidup, maka keutamaan akan diberi kepada lima waris sahaja iaitu bapa, ibu, anak lelaki, anak perempuan dan pasangan kepada si mati iaitu suami atau isteri. Kesemua ini memperlihatkan keunikan dan ketelitian hukum faraid dalam memberi hak kepada yang berhak.
PENEGASAN
Islam memperakui hubungan kekeluargaan adalah suatu yang sangat penting. Tidak hairanlah salah satu bentuk pengiktirafan institusi kekeluargaan adalah diberi hak sebagai penerima harta pusaka.
Penerima pusaka ialah waris-waris yang berhak dalam perundangan faraid sama ada si mati mempunyai keluarga kecil atau keluarga besar (extended family). Penentuan waris dalam faraid adalah berbeza-beza kesan daripada perbezaan dalil dan sumber hukum.

Mungkin selama ini kita hanya melihat keluarga yang terdekat mendapat harta pusaka ialah ibu, bapa, suami, isteri, anak lelaki dan anak perempuan kerana mereka paling hampir dengan si mati.
Sedangkan ilmu faraid memperinci setiap waris yang layak mahupun yang berhak untuk mendapat harta dalam sesuatu kes faraid.
Tiga kategori waris utama dalam faraid ialah waris ashab al-furud, waris ‘asabah dan waris dhawi al-arham. Kedudukan waris ashab al-furud dan ‘asabah adalah lebih disepakati menurut pandangan jumhur ulama fiqh berbanding waris dhawi al-arham.
Ini kerana penarafan waris ashab al-furud sebagai kategori penerima harta pusaka utama adalah berdasarkan nas-nas utama terutama ayat al-Mawarith dalam surah al-Nisa’.
Walau bagaimanapun, waris ‘asabah dan dhawī al-arham mempunyai status yang sama iaitu tidak ditentukan kadar yang tetap. Mereka hanya menerima pusaka yang berbaki selepas agihan kepada waris ashab al-furud. Jika waris ashab al-furud tidak wujud, maka waris ‘asabah dan dhawi al-arham adalah yang paling layak.
Namun, sekiranya kesemua pusaka dihabiskan oleh waris ashab al-furud, maka waris ‘asabah dan dhawi al-arham tidak memperolehi sebarang bentuk pusaka.
Kefahaman yang jitu tentang waris faraid terutama kategori waris ashab al-furud adalah sangat penting dalam mengurus sesuatu pusaka. Ini kerana setiap mereka mempunyai bahagian dan kadar yang tertentu sama ada nilai maksimum, nilai minimum atau terdinding sama sekali daripada menerima pusaka.
Selain itu, beberapa individu dalam senarai waris ashab al-furud turut mempunyai dua status iaitu kombinasi sebagai waris ashab al-furud dan ‘asabah mengikut kondisi masing-masing.
- Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










