PETALING JAYA: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) memeterai perjanjian berkaitan penyelidikan kimia dan farmakologi terhadap produk ubatan semula jadi di Sabah.
Perjanjian ditandatangi oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd. Janor dan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di UMS, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Atta-Ur-Rahman Institute for Natural Product Discovery (AuRIns) UiTM, Prof. ChM. Dr. Nor Hadiani Ismail dan Felo Penyelidik AuRIns merangkap ketua projek, ChM. Dr. Fatimah Salim.
Menurut Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, Profesor Madya Dr. Monica Suleiman, penjanjian penyelidikan itu membantu membangunkan industri farmaseutikal di Malaysia.
Kata beliau, jalinan kerjasama penyelidikan bertajuk “Chemical and pharmacological investigation on medicinal natural products of Sabah” di mana hasil penemuan akhir kajian penyelidikan dapat mengesahkan bahawa penggunaan tradisional
tumbuhan ubatan di Sabah dapat dikembangkan menjadi ejen farmaseutikal dan nutraseutikal.
“Kerjasama penyelidikan ini juga penting untuk mencapai Dasar Bioteknologi Negara (NBP) dan Dasar Perubatan Kebangsaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan selepas majlis menandatangani perjanjian penyelidikan tersebut.
Tambah beliau, jalinan kerjasama antara IBTP dan AuRIns telah bermula sejak 2019 melalui projek geran penyelidikan dan penyeliaan pelajar pascasiswazah.
Katanya, UMS dan UiTM juga akan menjadi penganjur bersama satu persidangan antarabangsa iaitu “International Conference on Natural Products (ICNP)” pada 21 hingga 23 September 2022.
“Dengan itu, saya bersama rakan saing di AuRIns iaitu Dr. Fatimah bersepakat untuk mengadakan perjanjian antara dua institut ini secara rasmi agar penyelidikan dan kerjasama dapat dijalankan secara lebih efektif dan
komprehensif,” ujarnya.
Monica juga berharap, perjanjian itu akan mengeratkan lagi kerjasama antara UiTM dan UMS dalam memperkasakan bidang penyelidikan dan latihan sekali gus membantu IBTP memaksimumkan kepakaran serta kapasiti sedia ada dalam melaksanakan penyelidikan dalam bidang hasilan semula jadi.
Perjanjian penyelidikan antara IBTP UMS dan AuRIns UiTM itu bagi tempoh lima tahun bermula 14 Julai 2022. – UTUSAN











