SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus besar Syarikat Panasonic Appliances Air Conditioning Malaysia dan lima individu lain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 93 pertuduhan menipu syarikat tersebut dengan membuat tuntutan kos pengangkutan palsu membabitkan kerugian lebih RM500,000 antara April 2008 hingga Mei 2014.
Bagaimanapun kesemua tertuduh Datuk R. Shanmugam, 46, Yap Siew Hiong, 46; P. Sugumaran, 50; C. Karuppiah, 41; V. Murugesu, 55; dan M. Kanesan, 38, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Adli Abd. Ghalib.
Mengikut pertuduhan, kesemua didakwa menipu kakitangan dan pegawai Panasonic Appliances Air Conditioning Malaysia Sdn. Bhd. untuk mempercayai bahawa kos pengangkutan yang dituntut lima syarikat adalah tulen.
Lima syarikat tersebut ialah Teguh Marin Inspection Malaysia Sdn. Bhd., WLS Container Lines Malaysia Sdn. Bhd., Green Valleys Resources, Tiban Enterprises dan Pandan Cerah Sdn. Bhd.
Tindakan itu mendorong Syarikat Panasonic Appliances Air Conditioning Malaysia Sdn. Bhd. untuk menyerahkan RM505,750 kepada lima syarikat berkenaan yang mana ia tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2, Persiaran Tengku Ampuan Seksyen Shah Alam Industrial Site antara April 2008 hingga Mei 2014.
Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rizal Azani Zainal Adzan manakala tertuduh diwakili Peguam Hasshahari Johari Mawi dan P. Purshotaman. – K! ONLINE










