SHAH ALAM – Geng Ayie yang aktif mencuri motosikal di kawasan flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) daerah ini sejak empat bulan lalu tumpas selepas lima lelaki termasuk ketuanya, Ayie ditahan di sekitar daerah ini baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia 31 hingga 39 tahun itu ditahan menerusi Ops Lejang pada 10 hingga 11 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, hasil penangkapan itu turut membawa rampasan tujuh buah motosikal masing-masing empat bagi jenis Honda EX5, Modenas (2) dan Yamaha LC (1) selain rangka motosikal bersama dua biji tayar dianggarkan RM28,000.
Katanya, turut dirampas adalah sepeket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 0.25 gram, sebatang paip kaca bagi menghisap syabu dan tiga buah telefon bimbit.
“Modus operandi geng ini adalah bergerak secara solo dengan tumpuan di tempat letak motosikal flat PKNS.
“Suspek akan membuka lampu besar hadapan dengan skru sebelum mencabut wayar dan menghidupkan enjin dengan mengambil masa kurang daripada lima minit,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya percaya dengan tertumpasnya Geng Ayie berjaya menyelesaikan sembilan kes curi motosikal.
Jelasnya, kesemua suspek kini ditahan reman selama lima hari sehingga hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










