SEMUA pelumba utama Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sekali lagi akan berkunjung ke Asia Tenggara untuk menjalani sesi ujian pramusim ketiga di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand yang bermula pada 16 hingga 18 Februari ini.
Thailand yang julung-julung kali diletakkan dalam jadual perlumbaan MotoGP musim 2018 ini bakal memberi penga–laman baharu kepada semua pelumba untuk menguji litar sepanjang 4.554 kilometer (km) tersebut.
Tidak terlepas buat pelumba tunggal negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang dilihat semakin bersedia untuk mengemudi jentera kelas perdana tersebut selepas dipanggil untuk bersama pasukan Monster Yamaha Tech3 bagi menggantikan Jonas Folger di Buriram.
Bagaimanapun, Hafizh yakin faktor cuaca panas di Buriram tidak menjadi masalah untuknya beraksi di litar tersebut kerana sudah biasa dengan keadaan cuaca yang mencabar seperti di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Perkara yang merunsingkan Hafizh ketika ini adalah proses untuk menyesuaikan diri dengan jentera MotoGP memandangkan Hafizh masih belum mempunyai pengalaman mengemudi jentera dalam kelas perdana tersebut.
“Saya sebelum ini pernah menunggang jentera 1000cc ketika menyertai perlumbaan lapan jam di Jepun, namun jika dibandingkan de–ngan jentera MotoGP sangat berbeza. Oleh itu, saya akan cuba menyesuaikan diri dengan cepat untuk menguji jentera Yamaha.
“Kali ini semua pelumba akan menerima pengalaman baharu di Buriram tetapi saya rasa pelumba MotoGP tiada masalah untuk menyesuaikan diri de–ngan cepat. Oleh itu, saya perlu merekodkan masa yang lebih baik daripada mereka.
“Jika ingin dilihat kepada keadaan cuaca, saya rasa ia dapat membantu kerana tiada banyak beza dengan ke–adaan di Sepang,” katanya kepada Kosmo!.
Hafizh akan berlepas ke Thailand esok untuk bersemuka de–ngan Herve Poncharal dan seluruh pasukan Monster Yamaha Tech3 untuk menguji jentera M1.
Hafizh dikatakan akan mendapatkan kepakaran jurutera Folger iaitu Nicolas Goyon.










